BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kumpulan The Hague Keluarkan Kenyataan Bersama Sulung Mengenai Palestin

01/02/2025 09:38 AM

THE HAGUE (Belanda), 31 Jan (Bernama) -- Wakil kerajaan dari Belize, Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan hari ini berhimpun di The Hague, Belanda, bagi merasmikan penubuhan Kumpulan The Hague.

Malaysia diwakili oleh Duta Besar ke Belanda, Datuk Roseli Abdul.

Dalam satu kenyataan bersama bersejarah, negara-negara peserta menegaskan komitmen mereka untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan memastikan kebertanggungjawapan  terhadap jenayah yang didakwa berlaku di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Kenyataan itu dibacakan bagi pihak Kumpulan The Hague oleh wakil Afrika Selatan Zane Dangor, dalam satu sidang media bersama.

Berpandukan matlamat dan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wakil negara anggota menekankan tanggungjawab kolektif untuk mempertahankan hak mutlak semua bangsa, termasuk hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

Kenyataan itu turut merujuk beberapa instrumen perundangan utama, termasuk perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Afrika selatan lwn Israel  pada 29 Dis 2023, yang mencerminkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan berlakunya jenayah genosid di Palestin.

Selain itu, kenyataan berkenaan merujuk kepada pendapat nasihat ICJ pada 19 Julai 2024 mengenai implikasi undang-undang dasar dan tindakan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, serta keputusan ICJ pada 2004 mengenai kesan undang-undang pembinaan tembok di wilayah itu.

Kumpulan itu turut mengingatkan mengenai waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 21 Nov 2024 terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, yang menunjukkan “asas munasabah” bahawa mereka bertanggungjawab atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kenyataan itu juga merujuk keputusan ICJ pada 30 April 2024 dalam kes Nicaragua lwn Jerman , yang menegaskan kewajipan semua negara di bawah undang-undang antarabangsa dalam pemindahan senjata kepada pihak bertelagah.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya, wakil negara anggota berikrar untuk “menegakkan Resolusi Perhimpunan Agung PBB A/RES/ES-10/24, menyokong prosiding ICC berkaitan waran tangkap yang dikeluarkan pada 21 Nov 2024, dan melaksanakan langkah sementara ICJ yang dikeluarkan pada 26 Jan, 28 Mac dan 24 Mei 2024.”

Kumpulan itu turut berikrar untuk “menghalang penyediaan atau pemindahan senjata, peluru dan peralatan berkaitan kepada Israel dalam semua keadaan yang menunjukkan risiko jelas bahawa senjata berkaitan mungkin digunakan untuk melanggar undang-undang kemanusiaan, hak asasi manusia antarabangsa atau larangan ke atas genosid.”

Selain itu, kumpulan itu berikrar untuk menghalang kapal daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam bidang kuasa mereka, sekiranya terdapat risiko jelas bahawa kapal berkenaan digunakan untuk membawa bahan api tentera dan persenjataan ke Israel, yang mungkin digunakan atau memudah cara dalam pelanggaran undang-undang kemanusiaan, hak asasi manusia antarabangsa dan larangan ke atas genosid di Palestin.

Kumpulan The Hague menegaskan kepentingan tindakan global yang bersatu.

“Kami akan mengambil langkah berkesan selanjutnya untuk menamatkan pendudukan Israel di Negara Palestin dan menghapuskan halangan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, termasuk hak mereka ke arah penubuhan negara yang merdeka.

Kami menggesa semua negara untuk mengambil segala tindakan dan dasar yang boleh bagi menamatkan pendudukan Israel di Negara Palestin.

Kami menyeru semua negara untuk menyertai Kumpulan The Hague  dengan komitmen teguh terhadap sistem antarabangsa berasaskan kedaulatan undang-undang dan undang-undang antarabangsa, yang bersama dengan prinsip keadilan, merupakan asas kepada keamanan dan kerjasama antara negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan