GEORGE TOWN, 1 Feb (Bernama) -- Lebih 1.5 juta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 11 Feb ini.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) RSN Rayer berkata semua pihak terutama kuil dan jawatankuasa yang terlibat sempena perayaan itu sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan ia berjalan lancar.
“Kami menjangkakan menerima 1.5 juta penganut Hindu dari seluruh negara, rekod tahun lepas mencecah 1 juta pengunjung. Malah, orang ramai bukan sahaja dari Malaysia tapi juga pelancong asing antaranya dari Australia, New Zealand dan Singapura.
“Tahun ini lebih ramai kerana perayaan Thaipusam berlangsung ketika cuti persekolahan, dan semua persediaan serta persiapan sedang giat dijalankan. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak terutama kuil-kuil yang terlibat atas kerja-kerja yang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar sempena sambutan perayaan Thaipusam 2025 dan pengenalan pengesan pada Pedati Emas yang dilaksanakan hasil kerjasama antara LWHPP dan Digital Penang di pejabat Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di sini.
Rayer berkata menerusi aplikasi yang disediakan itu, penganut Hindu boleh mengetahui dengan tepat kedudukan dan perjalanan pedati berkenaan.
Beliau berkata pengesan digital yang mula diperkenalkan tahun lepas itu telah ditambah baik dan dipertingkatkan dengan ciri-ciri tambahan supaya lebih mudah untuk penganut Hindu mendapatkan maklumat mengenainya di aplikasi Pathrikai & Chariot Tracker.
“Tahun lepas kali pertama LWHPP menyediakan satu alat pengesan digital dengan kerjasama Digital Penang, dan penganut Hindu yang datang sebelum dan selepas perarakan pedati emas itu boleh mengetahui perjalanan serta pergerakannya menerusi aplikasi yang dimuat turun di telefon bimbit masing-masing.
“Selain itu, menerusi pengesanan itu juga mereka (penganut Hindu) boleh membuat perancangan untuk bersembahyang di mana-mana kuil berhampiran pedati emas itu, atau mahu memberikan apa-apa kepada pedati berkenaan. Ini akan memudahkan mereka ketika upacara berkenaan,” katanya.
Rayer berkata pihaknya menjangkakan pedati emas itu akan bergerak dari Kuil Maha Mariaman di Lebuh Queen pada pukul 6 pagi (10 Feb), dan tiba di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani keesokkannya sebelum bergerak semula ke Kuil Maha Mariaman pada 12 Feb dan tiba pada 13 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial