BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johor Rancang Bangun Sukan Padel, Pickleball - Exco

02/02/2025 06:52 PM

JOHOR BAHRU, 2 Feb (Bernama) -- Johor merancang untuk membangunkan sukan padel dan pickelball sekali gus menjadi tarikan pelancongan sukan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata usaha itu akan dilakukan menerusi pembinaan enam gelanggang sukan berkenaan.

“Ada dua lokasi dipilih iaitu di Nusa Duta untuk gelanggang sukan padel manakala pickleball pula berdekatan Stadium Hoki Johor di Taman Daya.

“Tender akan dibuka dijangka pada bulan ini atau Mac dengan masa penyiapan dalam enam hingga lapan bulan. Jadi tahun ini kemungkinan kita akan ada enam gelanggang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program ‘Back To School’ Dewan Undangan Negeri Larkin di sini hari ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi pembinaan gelanggang pickleball. 

Sementara itu, Mohd Hairi berkata Iskandar Puteri antara lokasi dipilih bagi pembukaan Khabib Gym, dengan majlis pecah tanah dijangka diadakan tahun ini.

“Kerajaan negeri sedang memastikan beberapa lokasi, namun semua masih dalam perbincangan melibatkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Khabib Nurmagomedov.

“Reka bentuknya juga sudah pun siap dan semua yang diperbincangkan menunggu perkenan Pemangku Sultan Johor, termasuk dari segi model perniagaan dan cara untuk meneruskan program bersama Khabib Gym,” katanya.

 Onn Hafiz sebelum ini dilapor berkata Majlis Sukan Negeri Johor telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama bekas juara dunia Ultimate Fighting Championship (UFC) bagi kategori lightweight itu untuk membuka gimnasium latihan di Johor.

Beliau berkata MoU itu dicapai menerusi perjumpaan delegasi kerajaan negeri bersama Khabib di Abu Dhabi tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan