SHAH ALAM, 2 Feb (Bernama) -- Pihak pengurusan sebuah taman tema terkenal di sini yang terbabit dalam insiden pelampung permainan gelongsor air kaca dipercayai terjatuh 29 Jan lepas akan dipanggil setelah laporan penuh dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu juga mungkin melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setelah maklumat penuh diperoleh.
"Saya sudah baca laporan bertulis, tapi kita nak tunggu laporan penuh dan minta mereka untuk segera patuh kepada ketetapan pihak berkuasa seperti MBSA," katanya ketika ditemui selepas Majlis Amanat Menteri Besar Selangor bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di sini hari ini.
Sebelum ini Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan seorang pengunjung cedera selepas tertimpa sebuah pelampung permainan gelongsor air kaca yang dipercayai terjatuh di sebuah taman tema di Seksyen 7, di sini pada 29 Jan lepas.
Mengenai majlis itu hari ini, Amirudin menyeru supaya semua ketua kampung untuk memahirkan diri dengan penggunaan teknologi maklumat terutama pengurusan data.
Beliau berkata ini dapat mengoptimumkan proses penyeliaan masyarakat dari segi kebajikan, sekali gus membantu melancarkan penyampaian dasar dan inisiatif yang telah dirangka antaranya Khairat Darul Ehsan dan Iltizam Selangor Penyayang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial