BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Perlu Tegas Bendung Budaya Fitnah, Hasutan Dalam Talian - Agong

03/02/2025 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mahu kerajaan bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan. 

Dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan dengan budaya itu yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.

“Oleh itu, kerajaan perlu tegas dalam membendung budaya ini dan bersikap proaktif untuk memberikan maklumat yang betul dan dipercayai,” titah Sultan Ibrahim.

Istiadat pembukaan itu berlangsung serentak bagi Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan disiarkan secara langsung menerusi saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Seri Paduka Baginda juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau scammer dan pencurian identiti.

Sultan Ibrahim turut bertitah mahu kerajaan melaksanakan segera pengukuhan infrastruktur dan ekonomi digital, peningkatan keselamatan siber, serta penggunaan teknologi terkini.

“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus. Ini bagi membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa serta budaya red tape yang menyusahkan urusan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 18 hari, yang menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama tujuh hari mulai 4 Feb.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Feb.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan