BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Pastikan Segenap Lapisan Masyarakat Nikmati Hasil Ekonomi Negara - PM Anwar

03/02/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan agihan hasil ekonomi dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat.

"Seluruh jentera kerajaan MADANI akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim menitahkan agar kerajaan terus membantu pekebun kecil, petani, penternak dan nelayan selain proaktif memperkasa sektor pertanian, komoditi dan rangkaian bekalan makanan.

Anwar berkata titah Sultan Ibrahim itu jelas menzahirkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan terus membawa masuk pelbagai peluang pelaburan agar kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat.

"Tuanku dalam titah turut menyentuh kepentingan mengguna pakai teknologi tinggi dan terkini daripada aspek digitalisasi dan keselamatan siber," katanya.

Perdana Menteri berkata penggunaan teknologi terkini itu akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai dinaik taraf sepenuhnya.

"Memanjatkan doa dan harapan semoga bumi bertuah Malaysia kekal aman makmur dan berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Tuanku," katanya.

Anwar turut menjunjung kasih atas kesudian Yang di-Pertuan Agong mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan