KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Malaysia merupakan rakan penting, boleh dipercayai dan teruji bagi Uzbekistan dengan potensi besar bukan sahaja di rantau Asia dan dunia Islam, tetapi juga di peringkat global, kata Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.
Dalam perutusannya yang dipaparkan pada sesi meja bulat bertajuk Warisan Budaya: Jambatan Antara Uzbekistan dan Malaysia di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini sebelum ketibaannya untuk lawatan rasmi, beliau berkata hubungan diplomatik antara Uzbekistan dan Malaysia yang terjalin sejak 1992 menjadi asas kukuh bagi kerjasama yang lebih mendalam merangkumi pelbagai bidang kehidupan masyarakat.
“Pada masa ini, kita semua menyaksikan hubungan antara Uzbekistan dan Malaysia bergerak ke tahap baharu yang lebih berkualiti,” katanya.
Menurut Mirziyoyev, program strategik ‘Uzbekistan-2030’ dan Malaysia MADANI yang bertujuan untuk pembangunan serta pemodenan adalah bukti bahawa rakyat kedua-dua negara mempunyai aspirasi dan cita-cita mulia yang sama.
Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan tahun lepas sebagai satu peringkat baharu dan permulaan dalam sejarah hubungan Uzbekistan-Malaysia.
Mirziyoyev turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan persahabatan dan kerjasama antara Uzbekistan dan Malaysia akan terus berkembang secara konsisten dan mampan berdasarkan usaha bersama kedua-dua negara demi kepentingan serta kesejahteraan bersama.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Uzbekistan Ilhom Khaydarov yang menghadiri majlis perasmian acara berkenaan berkata Uzbekistan mempunyai harapan yang tinggi terhadap lawatan rasmi Mirziyoyev.
Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Mirziyoyev akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 4 hingga 5 Feb, yang merupakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak memegang jawatan pada Disember 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial