BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Uzbekistan Tiba Di Malaysia Untuk Lawatan Rasmi Dua Hari

04/02/2025 11:22 PM

EPANG, 4 Feb (Bernama) -- Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini adalah lawatan pertama Mirziyoyev ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016.

Pesawat yang membawa beliau dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.30 malam.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Mirziyoyev dan delegasinya.

Sebaik tiba, Mirziyoyev memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 29 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli.

Dalam lawatan ini, Mirziyoyev dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar,  bertemu eksekutif tertinggi syarikat terkemuka Malaysia dan mengambil bahagian dalam forum perniagaan bersama dan acara lain.

Esok, Mirziyoyev akan diberikan majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin dijangka meneliti kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan susulan lawatan rasmi Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas.

Seterusnya, kedua-dua pemimpin itu akan menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kesihatan, sains forensik dan budaya.

Anwar dan Mirziyoyev dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan di Kuala Lumpur yang memberi peluang untuk meneroka kerjasama ekonomi dan mengukuhkan lagi hubungan perniagaan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Petronas.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan Uzbekistan menurun sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023. Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan