BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden Uzbekistan Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

05/02/2025 11:14 AM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Mirziyoyev, yang tiba di sini semalam untuk lawatan sulungnya ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Disember 2016, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada 10 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Mirziyoyez kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Uzbekistan, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, kesalinghubungan dan pelancongan, susulan lawatan rasmi oleh Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lepas.

Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Seterusnya, kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman dalam bidang kesihatan, sains forensik dan budaya, serta empat Pertukaran Nota, iaitu dalam pengajian tinggi, latihan diplomatik, halal dan kastam. 

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan menunjukkan penurunan sedikit sebanyak 13.2 peratus kepada RM369.8 juta (US$80.9 juta) berbanding RM426.1 juta (US$94 juta) pada 2023.

Imbangan dagangan memihak kepada Malaysia berjumlah RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Pada 2024, Uzbekistan kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan