BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kadar Caruman Rendah KWSP Bagi Pekerja Asing Bantu Kurangkan Perbelanjaan Gaji

05/02/2025 04:22 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan menetapkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing pada kadar dua peratus berbanding cadangan asal 12 peratus, dapat membantu majikan mengurangkan perbelanjaan gaji atau upah secara menyeluruh.

Felo Kanan merangkap Pengarah Program Pengajian Ekonomi Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata langkah itu juga akan menjadikan usaha pengambilan pekerja asing menjadi lebih menarik untuk industri.

“Ini berikutan gaji yang diterima lebih tinggi selain membantu majikan mengurangkan perbelanjaan gaji/upah mereka secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing itu kekal pada kadar dua peratus yang rendah dan tidak membebankan berbanding cadangan 12 peratus sebelum ini.

Walaupun upah atau gaji lebih besar dapat merangsang perbelanjaan swasta secara domestik jika dibelanjakan di peringkat tempatan, ini sebaliknya berkemungkinan meningkatkan aliran keluar apabila dana atau wang itu dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Yeah yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) berkata walaupun caruman KWSP itu akan mencetuskan perbezaan gaji pekerja tempatan dan asing dalam segmen berkemahiran rendah, ini dapat diseimbangkan oleh aspek lain seperti levi, caj pengambilan dan yuran lain.

Beliau berkata kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah berkemungkinan mengekang industri daripada menggunakan teknologi penjimatan tenaga kerja, sekali gus menjejaskan produktiviti dalam jangka panjang.

Bagi kemajuan masa depan, Yeah berkata seiring hasrat Malaysia ke arah ekonomi lebih maju, industri juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja tidak mahir dengan menerimaguna automasi dan beralih kepada aktiviti bernilai tinggi.

“Adalah penting untuk kita menumpukan usaha meningkatkan kemahiran pekerja tempatan dan menarik bakat asing yang mahir bagi membantu negara menarik pelaburan asing berkualiti tinggi serta membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing,” katanya.

Beliau juga menyarankan pendekatan berperingkat bagi pelarasan caruman KWSP yang dapat mengurangkan gangguan atau perubahan ke atas industri serta membantu mencapai kesetaraan gaji antara pekerja tempatan dan asing.

Selain itu, katanya, penguatkuasaan lebih ketat berkaitan hak pekerja asing selain penyediaan kemudahan mencukupi seperti perumahan dan keadaan kerja yang selamat.

“Keputusan dasar itu walaupun bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna dan mengurangkan kos operasi, mungkin mempunyai implikasi meluas kepada dinamik pasaran tenaga kerja Malaysia serta daya saing industri bagi jangka panjang," katanya.

Anggota jemaah Menteri akan membincangkan caruman KWSP bagi pekerja asing dalam mesyuarat Kabinet minggu ini dengan Kementerian Sumber Manusia dijangka membuat pengumuman rasmi.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP yang sejajar dengan komitmen Malaysia memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

Pada November 2024, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dasar itu bertujuan menambahbaik aspek gaji selain memastikan pekerja tempatan tidak diketepikan dan menjadi antara usaha mengurangkan jurang membabitkan pekerja tempatan dan asing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan