BELANJAWAN 2025 > BERITA

China, Kyrgyzstan Komited Perkukuh Usaha Sama BRI

06/02/2025 02:16 PM

BEIJING, 6 Feb (Bernama-CMG) -- China dan Kyrgyzstan komited untuk terus memperhebat usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sehingga membuahkan lebih banyak hasil yang saling menguntungkan.

Komitmen itu dizahirkan semasa perbincangan di antara Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Kyrgyzstan Sadyr Japarov di sini pada Rabu.

Xi berkata China bersedia untuk memperluas kerjasama dengan Kyrgyzstan dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan selain mengimport lebih banyak barangan berkualiti dari negara Asia Tengah itu.

Beliau berkata Beijing menyokong lebih banyak syarikat domestik melabur dan mengembangkan perniagaan di Kyrgyzstan dan berharap hak dan kepentingan sah pelabur China dapat dilindungi di negara berkenaan.

Menyentuh mengenai aspek ketersambungan, Xi menekankan pembinaan rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan yang menepati standard dan berkualiti tinggi, pengubahsuaian dan pemodenan pelabuhan sedia ada serta pembukaan lebih banyak penerbangan penumpang dan kargo.

Xi menyeru kedua-dua pihak untuk mewujudkan pemacu baharu pertumbuhan dengan memperluas kerjasama dalam e-dagang rentas sempadan, data raya dan kecerdasan buatan (AI).

Dua negara harus mengelola Pusat Kebudayaan China, Bengkel Luban dan Institut Confucius dengan baik serta mengukuhkan pertukaran di peringkat setempat, tambah beliau.

Sementara itu, Japarov menyatakan kesediaan Kyrgyzstan memperkukuh kolaborasi dengan China untuk meraih lebih banyak kemajuan dalam Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan mekanisme China-Asia Tengah, selain terus menyumbang kepada keamanan rantau dan dunia.

-- BERNAMA-CMG 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan