BELANJAWAN 2025 > BERITA

KDN FC Kurang Latihan, Terus Jadi Pasukan Belasahan Liga Super

08/02/2025 11:41 AM

KOTA BHARU, 8 Feb (Bernama) -- Kekurangan latihan menjadi antara punca utama Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) terus bergelut dalam saingan Liga Super musim ini, menurut penolong ketua jurulatih pasukan itu, Kamaruddin Muhammad.

Beliau berkata KDNFC menghadapi masalah dari segi persiapan, kerana pemain tidak menjalani latihan harian yang mencukupi untuk bersaing dengan pasukan lain.

“Kita tidak berlatih setiap hari, sebaliknya hanya dipanggil untuk bermain. Pemain baru dikumpulkan dua hari lepas dan menjalani latihan sebelum menentang Penang FC malam tadi.

“Dalam tempoh seminggu, kita hanya berlatih dua atau tiga hari, menyebabkan pasukan sukar untuk bersaing dengan pasukan Liga Super lain seperti Penang FC, yang mempunyai pengalaman dan barisan pemain import yang mencukupi,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, KDNFC yang dibarisi pemain muda tempatan tewas 1-6 di tangan Penang FC.

Kamaruddin berkata KDNFC kini beraksi hanya untuk melengkapkan baki jadual perlawanan Liga Super, kerana pasukan itu tidak mampu bersaing secara kompetitif.

“KDNFC kini berada dalam keadaan kritikal. Kita tidak mampu bersaing kerana hanya bergantung kepada pemain muda tempatan, sedangkan pasukan lain memiliki lima pemain import serta pemain tempatan berpengalaman.

“Pasukan ini dibarisi pemain muda dengan hanya satu atau dua pemain yang berpengalaman dalam Liga Super. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kita akan mengalami kekalahan lebih besar selepas ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah yang dihadapi pasukan, bagi memastikan KDNFC mampu memberi saingan lebih sengit kepada pasukan lawan.

“Saya juga berharap selepas ini KDNFC akan dikendalikan oleh jurulatih berkaliber yang dapat membantu pasukan bersaing lebih kompetitif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan