BELANJAWAN 2025 > BERITA

Australia Usaha Dapatkan Pengecualian Tarif Keluli, Aluminium Dari AS

10/02/2025 03:39 PM

CANBERRA, 10 Feb (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan Australia sedang berusaha mendapatkan pengecualian tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import keluli dan aluminium, lapor Xinhua. 

Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia Don Farrell pada Isnin berkata kerajaan persekutuan sedang berusaha memastikan perdagangan dengan AS kekal terbuka dan bebas. 

"Kami secara konsisten memperjuangkan perdagangan bebas dan adil, termasuk akses ke pasaran AS untuk keluli dan aluminium Australia," katanya dalam satu kenyataan. 

Farrell menegaskan bahawa industri keluli dan aluminium Australia menyediakan ribuan pekerjaan di AS dan memainkan peranan penting untuk kepentingan pertahanan bersama. 

Presiden AS Donald Trump pada Ahad mengumumkan rancangannya untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke negara itu mulai Isnin. 

Sementara itu, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese memberitahu parlimen persekutuan di Canberra pada Isnin bahawa beliau mengatur perbincangan dengan Trump berhubung tarif baharu itu.

Menurut Australian Broadcasting Corporation, Australia mengeksport 223,000 tan keluli dan 83,000 tan aluminium ke AS pada 2024. 

Kerajaan terdahulu di bawah pimpinan Perdana Menteri Malcolm Turnbull pada 2018 berjaya melakukan rundingan pengecualian tarif keluli dan aluminium ketika penggal pertama Trump. 

-- BERNAMA-XINHUA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan