BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemasangan SWASLA Diperluas Ke Sarawak, Pantai Timur Semenanjung

15/02/2025 03:01 PM

GEORGE TOWN, 15 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memperluas pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ke kawasan di Pantai Timur Semenanjung dan Sarawak dalam usaha meningkatkan sistem pemantauan maritim negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem berkenaan akan ditempatkan di kawasan strategik yang dikenal pasti sebagai hotspot jenayah maritim seperti penyeludupan, dadah, migran dan pencerobohan.

Beliau berkata sistem radar berteknologi tinggi dan sistem pemantauan secara masa nyata itu akan meningkatkan kecekapan penguatkuasaan di perairan negara.

“Ketika ini, ada dua zon SWASLA yang beroperasi, satu SWASLA Lumut yang memantau perairan Selat Melaka dan kedua SWASLA Sabah yang memantau perairan Pantai Barat Sabah.

“Kita juga akan memperluaskan penggunaan dron dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) bagi pemantauan kawasan laut yang sukar kita akses,” katanya pada sidang media Sambutan Dua Dekad Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (2DMM) di Persiaran Karpal Singh di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sejumlah RM675 juta telah diperuntukkan kepada APMM pada Belanjawan 2025 bagi penyelenggaraan aset sedia ada dan perolehan aset baharu meliputi Program Pelanjutan Hayat Kapal (SLEP) untuk enam kapal sedia ada, perolehan kapal misi pelbagai guna (MPMS) dan dua Kapal Ronda Generasi Baharu (NGPV).

Selain itu, beliau berkata perolehan empat helikopter Agusta Westland 189 tahun depan bakal memperluas keupayaan pemantauan udara di kawasan strategik terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut memaklumkan Maritim Malaysia bakal memiliki Ibu Pejabat baharu yang akan dibina di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor, yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Megenai kejayaan dikecapi APMM dari 2006 hingga 2024, Saifuddin Nasution memaklumkan sebanyak 16,259 kes tangkapan telah berjaya direkodkan di bawah pelbagai kesalahan seperti Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/1963, dan Ordinan Perkapalan Saudagar.

Selain itu, beliau berkata APMM juga mengagalkan 1,789 Vesel Nelayan Asing (VNA) dan 15,162 kru vesel nelayan asing telah ditahan kerana menceroboh perairan negara bagi tempoh sama, dengan VNA Vietnam mencatat jumlah tertinggi 11,443 diikuti VNA Indonesia (2,221) dan VNA Thailand (956).

“Menurut statistik dikeluarkan Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) APMM dari 2006 hingga 2024, sebanyak 3,285 kes dengan 16,517 mangsa terlibat insiden di laut telah direkodkan dan daripada jumlah mangsa tersebut, 14,094 mangsa berjaya diselamatkan atas pelbagai insiden,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata beberapa kes berprofil tinggi juga berjaya direkodkan APMM termasuk kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 2015, MT MGT1 berhampiran Pulau Yu Besar pada 2017, rampasan 2 tan dadah jenis methamphetamine bernilai RM106 juta di Pulau Pinang dan operasi membongkar sindiket diketuai seorang wanita warga asing dikenali ‘Ibu Ani’ di Selangor.

Sementara itu, Saifuddin Nasution juga menyeru APMM agar semangat esprit de corps terus dipupuk melalui operasi bersepadu seperti OP MARDOF, OP TIRIS, dan OP NAGA yang melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diteruskan pada masa akan datang.

Beliau berkata kerjasama melalui operasi bersepadu dengan agensi sahabat dari negara jiran seperti OP Redback iaitu kerjasama antara APMM dan Australian Border Force (ABF) dan OP Patkor Optima antara APMM dan Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia, juga perlu dipertingkatkan dalam membendung jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

Maritim Malaysia hari ini meraikan sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan tema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.

Sambutan yang berlangsung dari 14 hingga16 Feb itu menampilkan pelbagai acara seperti pemeriksaan armada aset-aset maritim, Karnival Maritim Perkasa (KMP), perbarisan rasmi, demonstrasi penyelamatan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) serta pameran kerjaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan