BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bahrain Tekankan Perpaduan Dan Kewujudan Bersama Dalam Hal Ehwal Islam

20/02/2025 12:15 AM

Daripada Noor Bakthtiar Ahmad

MANAMA (Bahrain), 19 Feb (Bernama) -- Presiden Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Bahrain (SCIA), Shaikh Abdulrahman bin Mohammed bin Rashid Al Khalifa menekankan keperluan untuk memperkukuh titik persamaan antara mazhab dalam Islam serta mendukung prinsip yang memupuk pemikiran dan tingkah laku yang membina.

Beliau menggariskan kepentingan kewujudan bersama, persefahaman, keharmonian dan rasa hormat sebagai nilai asas yang mesti dipelihara tanpa kompromi.

“Peranan penting pemimpin, ulama dan cendekiawan dalam menyatukan saf serta mengutamakan kepentingan bersama umat Islam menuntut visi bersama untuk masa depan yang makmur melalui dialog dan kerjasama yang konstruktif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Dialog Intra-Islam di sini, pada Rabu.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Al Azhar Al Sharif, SCIA dan Majlis Hukama Muslim.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri persidangan itu di luar lawatan rasmi sulungnya ke Bahrain.

Anwar merupakan satu-satunya Ketua Kerajaan yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada persidangan yang diadakan di bawah naungan Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa.

Shaikh Abdulrahman turut mengetengahkan model kewujudan bersama yang telah lama diamalkan di Bahrain, diperkukuh oleh kedudukannya sebagai persimpangan tamadun serta hab perdagangan dan aktiviti maritim.

Beliau berkata kepelbagaian di Bahrain, yang merangkumi pelbagai agama, mazhab dan etnik, menjadi tunjang pembangunan negara itu dengan memupuk budaya keharmonian dan saling menghormati.

Beliau turut menegaskan komitmen Bahrain untuk terus memperkukuh nilai-nilai ini bagi memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan