BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pencapaian IPCC, Kepengerusian ASEAN Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

17/02/2025 08:30 AM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pencapaian Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan langkah strategik yang diambil Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan pencapaian IPCC sejak penubuhannya sehingga akhir 2024 dan menjelaskan fungsi IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC) pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) pula meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah langkah strategik yang diambil Malaysia sepanjang menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dalam mencapai tiga strategi yang ditetapkan iaitu pengukuhan rantaian nilai serantau, pengukuhan asas negara anggota serta penyelarasan dan penyusunan semula ekonomi negara-negara ASEAN.

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) bertanyakan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai berapakah jumlah subsidi yang telah dibelanjakan untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) sepanjang 2024.

Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian bersedia untuk meningkatkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit memandangkan kerap kali terdapat rungutan mengenai masalah kekurangan bekalan.

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya menyambung sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 18 hari hingga 6 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan