BELANJAWAN 2025 > BERITA

Satelit Penderiaan Jauh Negara Dijangka Beroperasi Pada 2028 - Chang

18/02/2025 01:08 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka mula beroperasi pada 2028, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. 

Beliau berkata setelah satelit itu mula beroperasi, pembayaran off-take akan dibuat secara berkala, berdasarkan jumlah data yang diterima dan diperakui oleh pihak kerajaan. 

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan memastikan pembayaran yang berpatutan dan sepadan dengan nilai data yang diperoleh, di samping mendorong syarikat mengekalkan standard kualiti yang tinggi dalam penyampaian data satelit.

“Keperluan ini akan diperhalusi dengan lebih terperinci dengan syarikat pembida semasa memuktamadkan dokumen perjanjian konsesi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin tahu status semasa program PSPJN di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan bilakah ia bersedia untuk dilancarkan, susulan UzmaSAT-1, sebuah satelit beresolusi tinggi yang telah dilancarkan oleh kumpulan UZMA Berhad tahun ini.

PSPJN adalah kesinambungan usaha kerajaan bagi memastikan keupayaan dan kapasiti negara dalam bidang teknologi angkasa terus diperkasa selaras dengan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030.

Tujuan pelaksanaan PSPJN antara lain adalah untuk memperkasa pemilikan data-data strategik negara melalui pengendalian sendiri satelit, mengurangkan kebergantungan kepada sumber data dan teknologi satelit luar serta memastikan kedaulatan dan keselamatan diperkukuhkan melalui sektor teknologi angkasa.

Chang berkata pada masa ini kerajaan berada dalam fasa rundingan dengan syarikat pembida yang terpilih bagi memastikan setiap keperluan projek dipenuhi secara sistematik dan menyeluruh.

Beliau berkata dalam usaha menjamin keberkesanan dan kejayaan program PSPJN, kerajaan bersama syarikat pembida akan mengadakan Makmal Pengurusan Nilai bermula hari ini hingga Jumaat (21 Feb).

“Makmal ini akan menjadi platform untuk membincangkan secara mendalam aspek pelaksanaan projek, dengan penekanan terhadap pengoptimuman kos dan sumber serta pelaksanaan langkah mitigasi awal bagi mengurus sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya. 

Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai status kesiapsiagaan negara dalam konteks penyertaan atau ratifikasi triti di bawah United Nations Committee on Peaceful Uses of Outer Space, Chang berkata mesyuarat Lembaga Angkasa Malaysia telah bersetuju untuk negara meratifikasi dan menyertai dua triti angkasa.

Dua triti angkasa itu ialah Treaty on Principles Governing the Activities of States in the Exploration and Use of Outer Space, including the Moon and Other Celestial Bodies 1967 dan Convention on Registration of Objects Launched into Outer Space 1975.

Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata penyertaan Malaysia dalam dua triti berkenaan adalah langkah utama untuk mempamerkan ketelusan negara dalam menguruskan program angkasa yang sentiasa menekankan aspek keselamatan serta berfokuskan kepada keamanan. 

“Penyertaan ini juga selaras dengan usaha dan komitmen untuk melindungi kepentingan negara serta memberi isyarat diplomatik yang jelas kepada seluruh dunia termasuk ASEAN bahawa Malaysia komited menjadi sebuah negara yang bertanggungjawab terhadap aktiviti angkasanya. 

“Ini akan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai sebuah negara angkasa baharu, Space Emerging Countries selain daripada mampu menjadi instrumen keselamatan negara khususnya dari insiden-insiden angkasa lepas,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan