BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perunding Pengurusan Projek JENDELA Fasa Kedua Dilantik Teliti Aspek Pelaksanaan Lebih Baik

18/02/2025 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Perunding pengurusan projek telah dilantik untuk Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan pelaksanaannya dijalankan dengan lebih baik, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum dan iktibar daripada beberapa perkara semasa pelaksanaan JENDELA fasa pertama untuk ditambah baik dalam pelaksanaan fasa kedua.

"Kita mungkin tidak bergantung harap kepada infrastruktur seperti menara-menara telekomunikasi seperti dalam fasa satu. Bagi fasa dua kita mungkin akan teliti penyelesaian yang fit for purpose. Mungkin satu-satu kawasan itu jumlah penduduknya memerlukan penyelesaian yang berbeza.

"Mungkin bentuk muka buminya yang mencabar, dan mungkin ada setengah perkara kita akan beri kelonggaran kepada syarikat-syarikat untuk laksanakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan OCBC Premier Private Client Centre di Bangsar di sini hari ini.

 Sebelum ini Fahmi dilaporkan berkata terdapat keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa 2 JENDELA bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.

"Kita dapati dalam JENDELA fasa satu ada beberapa perkara mereka terlalu longgar, ada beberapa perkara mereka terlalu rigid. Saya rasa ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki, yang tidak dilaksanakan dengan betul dalam jendela fasa satu,” katanya. 

Sementara itu Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang dalam proses meneliti beberapa perkara akhir sebelum mengeluarkan surat bagi membolehkan U Mobile Sdn Bhd melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.

"Kita jangkakan mungkin dalam tempoh seminggu dua ini.

"Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Keempat Negara (MED41R) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 12 Feb lepas telah dimaklumkan berhubung status pelaksanaan pengendali rangkaian 5G pertama, Digital Nasional Berhad (DNB).

"Mereka telah menyerahkan rancangan pelaksanaan perniagaan terperinci kepada pihak MCMC dan sedang diteliti manakala bagi pihak U Mobile, rancangan pelaksanaan itu telah diberikan lebih awal, dan saya difahamkan pihak U Mobile juga telah membuat beberapa pengumuman tentang tarikh permulaan pelaksanaan rangkaian 5G," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan