BELANJAWAN 2025 > BERITA

Shandong Taishan Tarik Diri Saingan ACL Elite, Laluan JDT Masih Samar

19/02/2025 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengesahkan kelab dari China Shandong Taishan FC dianggap telah menarik diri daripada saingan Liga Juara-Juara Elit 2024/25 di bawah Artikel 5.2 Peraturan Pertandingan.

Kelab itu, sebelum ini memaklumkan kepada AFC berhubung keputusan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan yang dijadualkan pada hari ini.

Berikutan perkembangan itu, AFC merujuk perkara berkenaan kepada jawatankuasa yang berkaitan untuk perbincangan lanjut dan membuat keputusan mengenai sebarang tindakan atau sekatan yang perlu dikenakan.

"Perkara itu akan dirujuk kepada Jawatankuasa AFC yang berkaitan untuk membuat keputusan sewajarnya," menurut AFC dalam satu kenyataan hari ini.

Penarikan diri pasukan itu dijangka memberikan kesan kepada kedudukan peringkat kumpulan dan struktur keseluruhan perlawanan. 

Juara bertahan Liga Super Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke pusingan 16 selepas menewaskan pasukan Korea Selatan Pohang Steelers FC 5-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri semalam.

Harimau Selatan itu menduduki tempat keempat dalam kedudukan kumpulan dengan 14 mata dan dijadualkan bertemu satu lagi pasukan dari Korea Selatan Gwangju FC dalam peringkat kalah mati pada Mac. Bagaimanapun, mungkin terdapat perubahan berikutan penarikan diri Shandong Taishan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan