BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kemajuan Teknologi Digital, AI Perkukuh Sektor Agromakanan Dan Agrikomoditi

20/02/2025 02:49 PM

SERDANG, 20 Feb (Bernama) -- Kemajuan dalam teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan (AI) akan terus menjadi tunjang utama memperkasakan sektor agromakanan dan agrikomoditi dalam negara, kata  Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin. 

Beliau berkata inovasi dalam bidang pertanian memberi impak besar kepada peningkatan hasil pertanian, keberkesanan pengurusan sumber dan kelestarian alam sekitar.

“Kini kaedah pertanian tepat, kebolehkesanan dan ekonomi kitaran bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya satu keperluan. Melalui penerapan teknik pertanian tepat, kita dapat memaksimumkan hasil sambil meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.

“Teknologi kebolehkesanan digital akan memastikan ketelusan lebih tinggi serta meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan perladangan di samping memperkukuh keyakinan pasaran antarabangsa terhadap produk Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Pakar Pertanian 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Chan berkata pemain industri perlu menerima pakai teknologi moden, amalan lestari dan transformasi digital untuk memastikan daya saing sektor pertanian serta perladangan terus kukuh seiring dengan perubahan landskap global.

Memetik keberkesanan sistem pertanian digital atau Digital Agriculture Technology (Digital AgTech), Chan berkata setakat 2024, lebih 600 sistem Digital AgTech berjaya dilaksanakan di seluruh negara dan 30,000 usahawan tani telah menerima latihan digitalisasi bagi meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi Internet benda (IoT) dan AI dalam operasi harian.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selaku agensi pelaksana Digital AgTech memainkan peranan utama dalam memastikan teknologi digital yang dibangunkan rakan teknologi memanfaatkan usahawan tani bagi memperkukuh kecekapan sektor pertanian.

Inisiatif Digital AgTech yang merentasi semua subsektor pertanian utama dalam negara, membantu memperkasakan operasi pertanian melalui adaptasi teknologi pertanian digital berasaskan data masa nyata untuk meningkatkan produktiviti, pendapatan dan mengurangkan kos operasi keseluruhan dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan menerusi penerapan teknologi digital.

Sementara itu, Chan berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam usaha inovasi, telah menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) yang merupakan kerjasama awam-swasta.

“MARCOP mengguna pakai teknologi mekanisasi dan automasi untuk meneroka, menilai, mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian bagi meningkatkan produktiviti industri perladangan kelapa sawit Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh manusia,” katanya.

Ekspo Pakar Pertanian 2025 berlangsung tiga hari bermula hari ini, melibatkan 218 reruai, 126 pempamer dan 630 jenama tempatan serta antarabangsa selain turut mengetengahkan inovasi dalam pelbagai sektor termasuk pertanian pintar berasaskan IoT, akuakultur, pemprosesan makanan lestari dan jentera pertanian moden.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi www.pakarpertanian.my atau https://bit.ly/PPE25VisitorRegistration.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan