BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penyakit Hati Berlemak: Punca Utama Cetus Risiko Kanser Hati Di Malaysia

20/02/2025 03:53 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Peningkatan mendadak kes kanser hati di Malaysia telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pakar kesihatan, dengan penyakit hati berlemak menjadi penyebab utama.

Menurut laporan Global Cancer Observatory 2022, kanser hati merupakan kanser keempat paling biasa di Malaysia dan penyebab keempat tertinggi kematian akibat kanser, dengan 1,700 kes baharu direkodkan pada tahun yang sama.

Pakar Bedah Am, Hepatobiliari, Pankreatik dan Pemindahan Hati di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Johann Faizal Khan memberi amaran bahawa Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol (NAFLD) atau varian terbaharunya, MAFLD (Penyakit Hati Berlemak Berkaitan Disfungsi Metabolik), kini semakin menjadi wabak senyap yang meningkatkan risiko kanser hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap penyakit hati berlemak sehinggalah menjalani pemeriksaan ultrabunyi menerusi pemeriksaan kesihatan rutin atau bagi keadaan perubatan lain yang memerlukan ultrabunyi.

“Sekiranya tidak dikesan, ia boleh berkembang ke peringkat yang lebih serius seperti sirosis (apabila hati rosak teruk dan bertukar menjadi tisu parut), yang meningkatkan risiko menghidap kanser hati," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata MAFLD secara asasnya ialah penyakit hati berlemak yang berkait rapat dengan obesiti dan sindrom metabolik, yang kini dilihat menjadi wabak utama. Disebabkan oleh pandemik obesiti global, MAFLD boleh berlaku pada kadar setinggi 15 peratus dalam kalangan kanak-kanak dan individu dewasa muda.

"Namun jangan terperdaya! Kira-kira satu perempat daripada mereka yang menghidap NAFLD adalah individu dengan berat badan normal, yang digelar NAFLD tanpa obes atau golongan langsing. Individu ini juga  berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2."

Dr Johann berkata penyakit hati berlemak berlaku apabila lemak berlebihan terkumpul dalam hati dan lama kelamaan ia menyebabkan keradangan, kerosakan sel hati, pembaikan yang tidak teratur, serta pembentukan tisu parut. Pada tahap yang lebih serius, risiko untuk menghidap kanser hati meningkat dengan ketara.

Kajian menunjukkan individu yang menghidap penyakit hati berlemak berisiko tinggi untuk menghidap fibrosis hati, yang lama kelamaan membawa kepada sirosis dan kanser hati. Apabila gejala seperti penyakit kuning, sakit perut, dan penurunan berat badan muncul, kanser berkenaan mungkin sudah berada di peringkat lebih serius.

Walaupun jangkitan hepatitis B dan C kronik kekal sebagai punca utama kanser hati di peringkat global, kes-kes yang tidak didiagnosis atau tidak dirawat terus menyumbang kepada peningkatan kadar kanser hati di Malaysia.

Kanser hati boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Kanser hati primer bermula di hati akibat faktor risiko seperti penyakit hati berlemak, sirosis, atau hepatitis, manakala kanser hati sekunder berlaku apabila kanser daripada organ lain seperti kolon, paru-paru atau pankreas merebak ke hati.

Beliau menekankan bahawa pengesanan awal melalui pemeriksaan kesihatan berkala seperti ujian fungsi hati, imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI), ujian darah, pengambilan sampel tisu dan imbasan ultrabunyi penting untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup.

“Kemajuan perubatan telah meningkatkan pilihan rawatan. Di SMCV terdapat pembedahan, terapi sasaran, kemoterapi, dan imunoterapi untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit. Namun, apabila kanser hati mencapai peringkat lebih lanjut, pilihan rawatan semakin terhad. Hal Ini menegaskan betapa pentingnya intervensi awal dan tindakan kesihatan yang proaktif,” katanya.

Beliau berkata penyakit hati berlemak pada peringkat awal boleh dipulihkan dan dengan bersenam serta menjaga pemakanan, kita boleh memulihkan keadaan itu dalam masa enam minggu hingga beberapa bulan.

Dr Johann turut menggesa orang ramai lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka dengan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, mengamalkan diet seimbang dan gaya hidup aktif kerana penyakit hati berlemak sering dikaitkan dengan faktor gaya hidup terutama pemakanan tidak sihat dan gaya hidup kurang aktif.

"Pemakanan mengandungi banyak makanan diproses, gula dan lemak tidak sihat boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit hati berlemak," katanya.

Dr Johann berkata faktor seperti muda dan berlebihan berat badan, terutamanya di bawah usia 40 tahun, serta mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit jantung, diabetes dan kolesterol tinggi, semuanya adalah petanda awal untuk risiko kanser, dan bukan hanya kanser hati.

Justeru, beliau menggesa individu yang berisiko untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat dengan meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, dan protein tanpa lemak, di samping mengurangkan pengambilan makanan diproses dan minuman bergula.

Aktiviti sederhana seperti berjalan laju atau berbasikal, katanya mampu mengurangkan risiko penyakit hati berlemak dan komplikasinya dengan ketara.

“Penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan penting dalam menangani penyakit hati berlemak. Dengan melakukan perubahan gaya hidup yang bijak dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, individu dapat mengurangkan risiko menghidap kanser hati dengan ketara.

“Marilah kita bersama-sama berusaha mencapai gaya hidup lebih sihat untuk diri kita, generasi akan datang, dan negara secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan