BELANJAWAN 2025 > BERITA

Petronas Dagangan Catat Prestasi Lebih Kukuh Pada Tahun Kewangan 2024, Umum Dividen 45 Sen

20/02/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd (PDB) meningkat kepada RM1.09 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Disember, 2024 berbanding RM943.08 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

PDB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata keuntungan bersih lebih tinggi dicatatkan pada tahun itu adalah disebabkan oleh keuntungan kasar lebih tinggi daripada semua segmen yang diimbangi oleh peningkatan dalam perbelanjaan.

Hasil lebih tinggi pada tahun kewangan 2024 pada RM37.95 bilion berbanding RM37.55 bilion setahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan volum jualan 3.0 peratus walaupun penurunan 2.0 peratus dalam harga jualan purata.

PDB telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham biasa dan dividen khas sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 31 Disember, 2024.

Dalam satu kenyataan berasingan, PDB berkata bagi tempoh 12 bulan, ia mencapai jumlah jualan tahunan tertinggi sepanjang masa iaitu 16.8 bilion liter.

“Prestasi tahun ini mencerminkan kekukuhan pelaksanaan strategi kami walaupun dalam persekitaran mencabar, keupayaan kami untuk menghasilkan keuntungan mampan membuktikan daya tahan model perniagaan kami, kepercayaan pelanggan kami dan pendekatan berdisiplin dalam mengemudi peralihan pasaran," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani.

Melangkah ke hadapan, firma itu menjangkakan penggunaan swasta yang stabil, mempercepatkan pelaksanaan rancangan pembangunan negara dan persekitaran operasi lebih stabil pada 2025.

Bagaimanapun, ia berkata ketidaktentuan perdagangan global dan harga minyak menyederhana boleh mempengaruhi keadaan pasaran.

Sehubungan itu, ia kekal komited untuk mengukuhkan teras dan segmen kemudahannya dengan memanfaatkan inisiatif strategik dan memanfaatkan peluang pasaran.

"Dengan asas yang betul, kami bersedia untuk mengharungi cabaran dan memacu fasa pertumbuhan seterusnya," kata Azrul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan