BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perlis Sasar Pertumbuhan Menerusi Pelabuhan Darat, Manfaatkan Lonjakan Sektor E&E

20/02/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Perlis sedang giat membangunkan Pelabuhan Dalam Negeri (PIP) dan kemudahan maritim lain untuk menarik pelabur ke negeri itu selain merebut manfaat limpahan ekonomi daripada aliran masuk pelaburan ke dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata agensi itu sentiasa berusaha mempromosikan Perlis dan menarik pelabur utama di Malaysia untuk berkembang melalui negeri tersebut.

"Mereka boleh memanfaatkan kelebihan logistik negeri itu untuk mengeksport ke seluruh Asia, dengan rangkaian pengangkutan darat sedia ada, yang boleh menjangkau hingga ke wilayah China dan Eropah Tengah seperti Kazakhstan dan Turkiye," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan bersempena dengan Siri MIDA Invest -- Perlis: Membongkar Permata Tersembunyi, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Pada acara itu, Sikh Shamsul turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan Bina Darulaman Bhd serta memorandum kerjasama (MoC) antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan MAERSK Logistics and Services Malaysia Sdn Bhd.

Sementara itu Mohd Shukri berkata, limpahan ekonomi daripada pertukaran MoU dan MoC tersebut dijangka menjana keuntungan ekonomi bernilai kira-kira RM800 juta kepada Perlis.

Beliau berkata Perlis bersedia menerima pengembangan industri yang ketara, disokong oleh inisiatif utama seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan PIP, di Chuping.

“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 20 hingga 30 pelabur untuk melengkapkan pembangunan keseluruhan CVIA, khususnya dalam sektor pembangunan tenaga solar, pusat data dan pertanian,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong menerusi satu kenyataan berkata Perlis berpotensi untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika negara menuju ke arah permulaan pemulihan ekonomi pusingan kedua.

“Perlis mempunyai peluang besar untuk mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi dari negeri jiran Kedah dan Pulau Pinang. Saya melihat perkembangan positif daripada projek ini dan apabila siap kelak kita berharap ia akan menjadi enjin pertumbuhan baharu untuk Perlis.

“Ketika kita melangkah kehadapan, berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau, penting bagi kita untuk membina momentum ini dan memanfaatkan kekuatan Perlis untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan di seluruh Malaysia,” katanya.

MoU yang ditandatangani oleh Mutiara Perlis, pemilik-pemaju Pelabuhan Sanglang Perlis (PSP) bersama Bina Darulaman Bhd menandakan satu langkah penting ke arah perkongsian strategik untuk pembangunan pelbagai kemudahan maritim di Sanglang.

Pembangunan itu memberi tumpuan kepada pembinaan tiga kemudahan utama di PSP, iaitu Pangkalan Bekalan Langkawi untuk kapal lepas landas, Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk perkhidmatan medan minyak dan gas di rantau ini serta Terminal Kargo Pukal untuk barangan kering dan cecair.

Kemudahan tersebut akan meningkatkan perdagangan serantau dengan menambah baik kecekapan logistik sambil menyokong pertumbuhan zon perindustrian di Kedah dan Perlis, termasuk CVIA, Kedah Rubber City dan Taman Sains dan Teknologi Kedah.

Manakala MoC antara Mutiara Perlis dan MAERSK bertujuan untuk meningkatkan kecekapan logistik, pembangunan infrastruktur dan ketersambungan perdagangan antarabangsa, mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai hab logistik di rantau ini.

-- BERNAMA.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan