PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Imam Besar Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Said Sabri hari ini menyatakan persetujuan untuk mengimamkan solat maghrib dan isyak secara berjemaah sempena majlis Ilmu MADANI yang akan diadakan di Masjid Putra di sini, pada Isnin ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan diisi dengan sesi ceramah oleh Sheikh Ekrima yang kini sedang dalam rangka lawatan ke Malaysia hingga 27 Feb ini.
“Ini sebahagian daripada hasrat Perdana Menteri yang mahu mengajak umat Islam untuk mendalami ilmu agama dengan kehadiran ulama dari dalam dan luar negara.
“Jadi marilah sama-sama kita manfaatkan kehadiran beliau (Sheikh Ekrima) di Masjid Putra pada Isnin ini kerana beliau sendiri telah nyatakan persetujuan untuk imamkan solat maghrib dan isyak nanti,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat dari Sheikh Ekrima di sini hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi hantaran di laman sosial rasmi mengumumkan penganjuran majlis Ilmu MADANI pada Isnin ini bertempat di Masjid Putra bermula 6 petang.
Menerusi hantaran yang dimuat naik semalam, JAKIM memaklumkan majlis yang merupakan cetusan idea Anwar yang juga Menteri Kewangan diadakan bagi meraikan lawatan Sheikh Ekrima ke negara ini serta meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama Islam dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Untuk rekod, majlis Ilmu MADANI dimulakan sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri pada 24 Nov 2022.
Berkongsi intipati perbincangan pada sesi kunjungan hormat, Mohd Na’im berkata Sheikh Ekrima menzahirkan penghargaan atas segala usaha dan sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia kepada Palestin.
“Beliau mendoakan agar semua sumbangan rakyat Malaysia di bawah pimpinan Anwar akan menjadi sedekah amal jariah yang diterima Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata Sheikh Ekrima turut terharu dengan inisiatif Malaysia untuk membangunkan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza dalam usaha menyokong pembangunan semula wilayah terkesan di Palestin.
“Malaysia telah diberikan mandat ini dan kita akan cuba ajak negara lain untuk sama-sama bantu Gaza,” katanya.
Pada 29 Jan lepas, Anwar berkata Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan dengan menggerakkan usaha membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial