BELANJAWAN 2025 > BERITA

ATC: Trio Pecut Wanita Pecah Rekod Kebangsaan, Pertahan Perak

21/02/2025 09:48 PM

NILAI, 21 Feb (Bernama) -- Skuad wanita negara memulakan kempen Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 dengan cemerlang apabila mencipta rekod kebangsaan baharu selain mempertahankan pingat perak acara pecut berpasukan di Velodrom Nasional  di sini, hari ini. 

Trio negara terdiri daripada Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid berjaya mencatatkan rekod baharu 48.458 saat (s) untuk menewaskan Taiwan (50.657s) yang terdiri daripada Qiu Jin Wen, Wang Sin Ting dan Chen Ching Yun pada pusingan pertama.

Catatan itu memecahkan rekod ama 49.025s yang dicipta oleh Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati dan Anis pada Sukan Asia Hangzhou pada September 2023.

Trio negara, bagaimanapun, terpaksa berpuas hati dengan perak dengan catatan 49.132s selepas tewas kepada Bao Shanju, Guo Yufang dan Luo Shuyan (46.990s) untuk memberikan kejuaraan ketiga berturut-turut kepada China sejak edisi 2023, manakala Aki Sakai, Mina Sato dan Haruka Nakazawa dari Jepun membawa pulang gangsa. 

Sementara itu, skuad pecut berpasukan wanita junior yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Sawda Hasbullah turut beraksi cemerlang dengan dua kali memperbaharui rekod kebangsaan, sebelum tewas pada final. 

Trio negara itu pada awalnya  mencatatkan 51.710s pada pusingan kelayakan sebelum memperbaharui rekod memperbaharui rekod kepada 51.801s pada pusingan pertama untuk mengatasi trio Taiwan (53.333s) - Liu Hui Li, Liu Shang Ying dan Lo Yun Han untuk mara ke final. 

Namun mereka tidak mampu menyaingi kehebatan Kim Jia, Park Yebeen dan Park Hyerin (50.916s) dari Korea Selatan pada final, selepas mencatatkan 51.931s, manakala Taiwan meraih gangsa. 

Rekod terdahulu bagi acara berkenaan adalah 52.979s milik Azwa Nabila Abdullah, Nyo Ci Hui dan Yong Ann Tung yang dicatatkan pada edisi 2022 di New Delhi, India. 

Skuad lelaki yang merupakan penyandang pingat perak, terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila Mohd Akmal Nazimi Jusena, Muhammad Ridwan Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis (44.033s) menewaskan trio India dibarisi Rojit Singh, Esow Alben dan David Becham (44.909s) pada penentuan gangsa. 

Terdahulu pada pusingan pertama, trio itu hampir memecahkan rekod kebangsaan tujuh tahun apabila merakamkan 43.996s, hanya sedikit tersasar daripada rekod kebangsaan 43.934s milik Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil yang dicatatkan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Jepun yang dibarisi oleh Yoshitaku Nagasako, Kaiya Ota dan Shinji Nakano (43.258s) muncul juara selepas mengatasi trio Tang Haoju, Feng Yusheng dan Liu Qi (43.708s) dari China. 

Dalam acara berbasikal trek para, Mohd Khairul Hazwan Wahab, Muhammad Khairul Adha Rasol (jurumudi), Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) meraih emas acara Tandem B pecut berpasukan campuran menerusi catatan 52.560s, mengatasi Surachai Yokphanitchakit, Jetsada Janluang (jurumudi), Watcharoban Boonmalert dan Pannaray Rasee (jurumudi) (54.066s) dari Thailand. 

Mengulas mengenai prestasi pelumba negara, ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri yang pada awalnya meletakkan sasaran sederhana tiga pingat, kini positif untuk mencatatkan pencapaian yang lebih baik berbanding sasaran itu selepas skuad senior meraih dua pingat pada hari pertama.

“Kita masih mempunyai peluang untuk pingat, mungkin juga emas untuk acara ujian masa dan keirin bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Namun, kita jangka cabaran sengit daripada Jepun dan China. 

“Bagi acara pecut bermula esok, kita sasarkan Shah Firdaus buat catatan sebaik mungkin pada kelayakan dan mara hingga suku akhir kerana beliau perlu berehat untuk acara keirin minggu depan.

“Peluang dalam acara keirin masih terbuka terbuka tetapi Jepun dijangkan menurunkan pelumba terkuat mereka (Shinji Nakano dan Kaiya Ota),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan