GEORGE TOWN, 22 Feb (Bernama) -- Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin selesai dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini dan dibawa pulang ke rumahnya di Ipoh kira-kira 10.40 malam ini.
Van yang membawa jenazah Ishsam diiringi MPV polis selain kenderaan keluarga serta beberapa kenderaan barisan kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Perak.
Isteri arwah, Rozlita Abdullah, 55, sempat membuka cermin tingkap kereta dan mengucapkan terima kasih kepada media.
Rozlita yang kelihatan sugul sebelum itu dilihat beberapa kali ditenangkan oleh rakan-rakannya ketika menunggu urusan bedah siasat selesai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas ADUN Ayer Kuning itu mendapati punca kematian adalah serangan jantung.
"Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP yang bermula 9 malam tadi mendapati ADUN Ayer Kuning meninggal dunia disebabkan serangan sakit jantung (acute coronary syndrome), jenazah telah dibawa pulang 10.40 malam ini ke rumahnya," katanya.
Anak Allahyarham, Muhammad Izrul Imadi, 32, yang ditemui turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah bapanya malam ini.
"Kali terakhir saya jumpa ayah pagi tadi dan arwah nampak gembira untuk menyertai pertandingan bola sepak tersebut kerana beliau pemain bola sepak sebelum ini," katanya.
Ishsam yang lahir pada 31 Ogos 1966 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pernah mewakili Perak sekitar 1980-an dan 1990-an.
Allahyarham meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bandaraya di sini, petang tadi.
Beliau rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial