BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kementerian Perdagangan Indonesia Lancar Akademi Gemini, Sokong PKS Integrasi AI

22/02/2025 03:56 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 22 Feb (Bernama) -- Bagi meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat global, Kementerian Perdagangan Indonesia melancarkan Akademi Gemini, sebuah inisiatif yang bertujuan membantu PKS memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi mereka.  

Program ini, yang dibangunkan dengan kerjasama Google Indonesia, memberi tumpuan kepada PKS tempatan yang berorientasikan eksport dan bukan eksport, dengan matlamat membantu perniagaan berinovasi serta menembusi pasaran antarabangsa.  

Menteri Perdagangan Budi Santoso yakin bahawa akademi ini akan membantu PKS mengoptimumkan operasi, mengurangkan kos dan meningkatkan daya saing mereka.  

“Dengan mengintegrasikan AI dalam strategi perniagaan, mereka akan memperoleh pandangan berharga mengenai trend pasaran dan keutamaan pengguna, sekali gus membolehkan mereka menambah baik penawaran produk serta usaha pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.  

Akademi Gemini menawarkan tiga kategori latihan: PKS Eksport Berpotensi, PKS Eksport Asas dan PKS Eksport Lanjutan, yang bertujuan membekalkan peserta dengan kemahiran untuk mengoptimumkan proses perniagaan dan meluaskan capaian pasaran.  

“Indonesia adalah negara pertama di dunia yang menawarkan program latihan Akademi Gemini untuk PKS, dan Kementerian Perdagangan adalah rakan kongsi kerajaan pertama kami di Indonesia,” kata Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Indonesia, Putri Alam.  

Beliau juga menyatakan bahawa Gemini, "chatbot AI" yang direka untuk meningkatkan kreativiti dan produktiviti boleh dimuat turun melalui Google Play Store, App Store, atau laman sesawang rasmi.  

Selain latihan khusus untuk PKS, Google Indonesia turut menawarkan 500 biasiswa bagi Sijil Kerjaya Google kepada penjawat awam di kementerian bagi membolehkan mereka mengikuti kursus berkaitan AI, katanya.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan