BELANJAWAN 2025 > BERITA

OKU Maut Di Stesen LRT: MOT Arah Kaji Semula Aspek Keselamatan Di Semua Stesen

22/02/2025 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT)  mengarahkan agar aspek keselamatan di semua stesen tren, khususnya kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dikaji semula dan dipertingkatkan.

Menterinya  Anthony Loke berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang lelaki OKU yang maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan sebelum dilanggar tren di Stesen LRT STAR Titiwangsa di sini, pagi tadi.

“Tragedi di Stesen Titiwangsa pagi ini yang meragut nyawa seorang penumpang amat menyedihkan.

“Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terkesan oleh kejadian ini,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Loke berkata Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang, termasuk pemasangan kamera litar tertutup pintar (Smart CCTV) di stesen yang berupaya mengesan perilaku berisiko.

Bagi jangka masa panjang, beliau berkata Prasarana sedang merancang untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di semua laluan Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang.

Selain itu, Loke menasihatkan penumpang yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk golongan OKU agar menghubungi kakitangan Prasarana atau polis bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberikan perhatian sewajarnya.

Menurutnya keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam lebih selamat, inklusif dan mesra pengguna demi kebaikan semua rakyat negara ini.

Terdahulu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Fadil Hesam Mohd, dalam kenyataan memaklumkan bahawa Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada 8.38 pagi tadi melalui sistem MERS-999 berhubung penemuan mayat tersebut.

Beliau berkata mangsa, seorang lelaki OKU penglihatan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan