PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan pemendekan tempoh latihan pegawai perubatan siswazah (HO) bukan untuk menangani kekurangan pegawai perubatan (MO), tetapi meningkatkan produktiviti melalui latihan yang lebih berfokus dan efisien.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata cadangan memendekkan tempoh latihan HO selaras dengan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang mewajibkan tempoh latihan minimum selama satu tahun.
Beliau berkata tempoh latihan sebelum ini adalah setahun sebelum ia dipanjangkan kepada dua tahun mulai 2008.
“Pemanjangan tempoh latihan ini dilaksanakan kerana berlaku peningkatan jumlah graduan perubatan pada masa ini, tetapi jumlah pakar perubatan dan MO senior tidak mencukupi untuk menyelia dan menyokong latihan mereka.
“Selaras dengan perancangan semasa, dan juga setelah beberapa penambahbaikan dibuat terhadap proses latihan termasuk jumlah pakar perubatan dan hospital berkepakaran yang semakin meningkat, KKM kini sedang dalam peringkat akhir kajian untuk kembali memendekkan tempoh latihan HO kepada setahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata tempoh latihan selama setahun dijangka lebih efisien, dengan syarat kualiti latihan ditingkatkan berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap sistem latihan sedia ada serta perkembangan terkini dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Beliau berkata cadangan itu juga selari dengan amalan di negara-negara lain.
Dr Muhammad Radzi berkata KKM telah menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Akademi Perubatan Malaysia (AMM), pusat-pusat pengajian tinggi dan ketua-ketua kepakaran.
“Selain itu, cadangan ini adalah untuk menangani isu-isu yang sering dibangkitkan oleh HO seperti beban kerja yang tinggi dan kekurangan pengiktirafan.
“Fokus utama adalah untuk meningkatkan pendedahan klinikal dan motivasi mereka,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata sekiranya cadangan itu dilaksanakan, tahun pertama latihan HO akan merangkumi Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan serta Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.
Pada tahun kedua, HO akan berperanan sebagai MO junior dengan bertugas di Jabatan Pediatrik, Ortopedik dan Perubatan Kecemasan secara giliran.
“Latihan dalam bidang anestesia, psikiatri dan perubatan keluarga pula akan diserapkan ke dalam jadual latihan di jabatan-jabatan yang relevan bagi memastikan proses latihan lebih efisien,” katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata KKM akan memastikan HO mencapai tahap kompetensi yang diperlukan sebelum beralih ke peranan MO junior.
“Dalam konteks ini, penyelia-penyelia di pusat latihan akan memainkan peranan penting dalam melatih, memantau dan menilai prestasi mereka.
“Sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan, tempoh latihan boleh dipanjangkan bagi memastikan kualiti dan kompetensi mereka terjamin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial