BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dagangan Dua Hala Malaysia-Vietnam Naik 4.4 Peratus Kepada US$18.14 Bilion - Duta

25/02/2025 02:18 PM

Daripada Mohd Haikal Isa

HANOI, 25 Feb (Bernama) -- Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Vietnam pada 2024 menokok sebanyak 4.4 peratus kepada US$18.14 bilion (RM83.11 bilion) daripada US$17.38 bilion pada tahun sebelumnya yang memaparkan peningkatan dagangan dua negara anggota ASEAN itu.

Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai berkata 2024 juga memaparkan pemulihan perdagangan dua hala bagi Malaysia dan Vietnam yang susut sebanyak 10.6 peratus pada 2023.

“Eksport Malaysia ke Vietnam meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada US$11.74 bilion (RM53.86 bilion) yang mencerminkan permintaan kukuh di Vietnam untuk produk elektrik dan elektronik serta produk petroleum Malaysia.

“Import dari Vietnam juga kekal stabil dengan mencatat peningkatan marginal sebanyak 6.4 peratus kepada US$6.40 bilion (RM29.25 bilion)," katanya kepada kumpulan wartawan media Malaysia.

Mengulas selanjutnya, Tan berkata lebihan dagangan Malaysia terus berkembang dan mencecah US$5.34 bilion (RM24.61 bilion) walaupun angka itu turun sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding 2023.

“Angka-angka ini menyerlahkan lagi pencapaian kedua-dua negara yang melepasi sasaran perdagangan ditetapkan di bawah Pelan Tindakan (POA) 2021-2025 untuk kali kedua selepas 2022," katanya.

Pada masa sama, katanya, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia pada 2024 yang menyumbang 2.9 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Vietnam juga berperanan sebagai destinasi eksport ke-10 terbesar Malaysia dengan sumbangan sebanyak 3.6 peratus selain menjadi sumber ke-13 import terbesar atau 2.1 peratus daripada import Malaysia.

“Dalam kelompok ASEAN, Vietnam juga konsisten bagi tiga tahun berturut-turut yang menyaksikannya sebagai rakan dagang keempat terbesar pada 2024 dan menjadi destinasi eksport keempat terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam blok itu.

“Kedudukan itu hanya membuktikan kekukuhan hubungan perdagangan Malaysia-Vietnam dan menyerlahkan kepentingan Vietnam sebagai rakan kongsi serantau utama bagi Malaysia," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan kerja dua hari ke Vietnam hari ini dengan agenda beliau termasuk menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) 2025, kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Forum yang akan diadakan esok, berperanan sebagai platform inklusif bagi perbincangan serta dialog dalam kalangan pemimpin ASEAN, penggubal dasar, pakar, badan pemikir, pemimpin perniagaan dan pihak berkepentingan mengenai hala tuju masa depan ASEAN.

Menurut Wisma Putra, Anwar akan turut melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung  Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dan Presiden Republik Sosialis Vietnam Luong Cuong selain bertemu dengan Perdana Menteri Pham Minh Chinh.

Pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk merangka hala tuju jelas bagi memperkukuh kerjasama dua hala di bawah Rangka Kerja Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Perbincangan akan menumpukan bidang strategik, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga, pelancongan serta usaha bersama menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU),” kata Wisma Putra.

Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Vietnam pada 30 Mac 1973 dan kedua-dua negara telah meraikan ulang tahun ke-50 hubungan itu pada 2023.

Sewaktu lawatan rasmi To Lam ke Malaysia pada November 2024, kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan