BELANJAWAN 2025 > BERITA

PDRM Cadang Kuota Pengambilan Kor SUKSIS Ke Jawatan Kadet Inspektor Ditambah

26/02/2025 06:09 PM

ARAU, 26 Feb (Bernama) -- Kuota pengambilan pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ke jawatan kadet inspektor polis secara terus dicadang ditambah kepada 15 peratus, berbanding lapan peratus ketika ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.  

“Kita cadangkan keutamaan ini diberi kepada Kor SUKSIS dan ditingkatkan kuota kepada 15 peratus memandangkan mereka telah mendapat pendedahan awal tentang aspek undang-undang, latihan kawat dan pelbagai lagi,” katanya selepas majlis perasmian Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik Kor SUKSIS Universiti Awam peringkat kebangsaan Edisi 2.0 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan turut dihadiri Razarudin serta Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim.  

Sementara itu, Wan Hassan berkata PDRM juga bercadang menubuhkan sebuah jabatan baharu bagi mengatasi kes jenayah siber dan calon yang akan dipilih untuk bertugas di jabatan itu terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang seperti forensik, kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata setakat tahun ini dianggarkan 85 alumni universiti itu telah dipilih untuk berkhidmat bersama PDRM. 

Zaliman berkata penubuhan Kor SUKSIS sejak dua dekad lepas dilihat terus relevan dan menjadi aset penting dalam pembangunan sosial negara.  

“Kor SUKSIS bukan sekadar melahirkan pelapis yang memahami undang-undang negara, tetapi juga menjadi pemangkin dalam memperkukuh keselamatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan