BELANJAWAN 2025 > BERITA

AI Pacu Transformasi Digital Pengurusan Tanah Sarawak - Awang Tengah

27/02/2025 12:44 AM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan tanah merupakan langkah strategik bagi memastikan perkhidmatan Sarawak kekal relevan dalam era digital, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata teknologi berkenaan dapat memantau perubahan sempadan, menganalisis data geospatial dengan lebih tepat serta menguruskan sumber tanah secara lestari.

"Ini sangat penting dalam menghadapi cabaran seperti pertumbuhan pesat pembangunan. Teknologi AI membantu kita mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat terhadap penggunaan tanah, sekali gus menyokong dasar-dasar pembangunan yang mampan," katanya berucap pada majlis Makan Malam Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di sini malam ini.

Beliau berkata transformasi digital melalui AI memerlukan sinergi sokongan dan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak.

"Pendidikan dan latihan berterusan adalah kunci untuk memastikan setiap pegawai dan petugas di setiap lapisan pelbagai jawatan dapat mengadaptasi teknologi baharu dengan berkesan. 

"Libat urus bersama rakyat juga perlu sentiasa dilakukan agar mereka memahami prosedur berurusan di jabatan ini (Jabatan Tanah dan Survei Sarawak)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood berkata setakat akhir tahun lepas, seluas 1,187,427 hektar Tanah Hak Adat (NCR) di seluruh Sarawak telah diukur perimeter di bawah Program Pengukuran NCR Inisiatif Baharu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seluas 925,934 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

"Usaha untuk mempertingkatkan pengukuran lot individu di bawah program ini terus diperkasakan dengan menambah baik teknologi dan kaedah pengukuran yang digunakan," katanya.

Awang Zamhari berkata setakat Disember lepas seluas 115,407 hektar tanah telah diukur secara lot individu, melibatkan sebanyak 97,018 lot.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan