BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tomei Catat Untung Bersih RM59.5 Juta Setelah Emas Jadi Pilihan Pelaburan Selamat

26/02/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pengeluar dan peruncit perhiasan emas bersepadu, Tomei Consolidated Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM59.50 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 berbanding RM46.43 juta pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu disokong oleh kenaikan harga emas runcit yang menyumbang kepada peningkatan margin.

Tomei juga mencapai pencapaian bersejarah dengan melepasi tanda paras perolehan tahunan RM1 bilion buat pertama kali dengan perolehan sebanyak RM1.05 bilion bagi tahun kewangan 2024, meningkat 15.4 peratus berbanding RM909.71 juta tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Ng Yih Pyng berkata pihaknya sangat berbangga kerana dapat melepasi tanda paras perolehan tahunan sebanyak RM1.0 bilion buat pertama kali dalam sejarah.

"Ini sekali gus menunjukkan pencapaian penting sejak penyenaraian syarikat pada 2006," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata pencapaian ini merupakan bukti kepada pertumbuhan strategik syarikat, kehadiran jenama yang kukuh dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan aliran pasaran yang sentiasa berubah.

Dari segi prestasi segmen tahun kewangan 2024, segmen runcit kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan perolehan meningkat sebanyak 14.1 peratus kepada RM853.2 juta daripada RM747.7 juta.

Bagi tempoh suku keempat yang berakhir 31 Dis, 2024, keuntungan bersih Tomei sebanyak RM11.70 juta berbanding RM7.36 juta untuk suku yang sama tahun sebelumnya manakala perolehan sebanyak RM242.78 juta berbanding RM245.12 juta sebelumnya.

Ng berkata terdapat perubahan dalam pemikiran pengguna apabila semakin ramai individu melihat emas sebagai perhiasan dan aset pelaburan yang selamat.

"Emas semakin dilihat sebagai pelindung terhadap inflasi dan tempat simpanan nilai yang boleh dipercayai terutamanya di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik yang berterusan," katanya.

Menurut Ng, kumpulan ini mengambil langkah optimis berhati-hati selain akan mengekalkan keuntungan untuk tahun kewangan yang akan datang.

Pada masa ini, katanya Tomei mengendalikan 60 cawangan runcit di Malaysia dan memastikan aksesibiliti yang tinggi bagi pelanggan di seluruh negara.

"Memandang ke hadapan, kami akan memberi tumpuan kepada meningkatkan perkhidmatan dan tawaran produk untuk memberikan nilai yang lebih besar selain meningkatkan pengalaman beli-belah pelanggan kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan