BELANJAWAN 2025 > BERITA

KLTA Seru Kerjasama Industri Lebih Kukuh Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

26/02/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) menggesa kerjasama lebih kukuh dalam kalangan pemain industri untuk memastikan ibu negara kekal menjadi destinasi pelancongan utama global, terutama sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Presiden KLTA Syed Azhar Syed Nadzir berkata kerjasama itu penting dalam mewujudkan ekosistem pelancongan yang mampan.

"Pelancongan bukan pemain industri tunggal, ia rangkaian perniagaan, perkhidmatan dan pengalaman yang saling berkaitan untuk mencipta kenangan berpanjangan kepada pelancong," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Jalinan Rangkaian Industri Pelancongan KLTA di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri rakan kongsi termasuk Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Naquib Hamdan serta Pengarah Kanan Domestik dan Program, Tourism Malaysia Datin Rafidah Idris, selain lebih 400 pihak berkepentingan industri mewakili hotel, agensi pelancongan, lokasi tarikan dan sektor pengangkutan.

Syed Azhar berkata acara hari ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KLTA untuk memperkukuh hubungan antara ahli dengan bukan ahli daripada sektor pelancongan relevan.

"KLTA ialah platform untuk semua, daripada kedai kopi yang kecil sehingga pusat beli-belah utama seperti KLCC dan Pavilion. Malah, hospital seperti KPJ dan Ampang Puteri juga merupakan ahli persatuan kami," katanya kepada Bernama.

Ketika Kuala Lumpur bersiap sedia untuk menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026, KLTA giat bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti DBKL dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengubah ibu kota itu menjadi hab bertaraf dunia dalam semua aspek.

"Sepertimana tema rangkaian hari ini, Embracing 2026 menuju ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026, kita juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk mempersiapkan Kuala Lumpur sebelum 2026 sebagai sebuah ibu kota bertaraf dunia dalam semua aspek dari segi kemudahan, keselamatan dan lain-lain.

"Sebab itu, hari ini kita dapat lihat kehadiran pihak Polis Kuala Lumpur, DBKL dan Tourism Malaysia. Ia merupakan satu bentuk kerjasama erat antara sektor swasta dengan sektor awam," katanya.

Sementara itu, kareografer di On Stage Production Hanafi Rosdi yang turut hadir ke majlis itu berkata acara berkenaan memberi peluang kepada beliau untuk bekerjasama dengan pemain utama dalam industri pelancongan untuk mempromosikan budaya Malaysia kepada pelancong antarabangsa.

"Dengan adanya acara ini, ia sedikit sebanyak membantu kami untuk menyampaikan idea berkenaan kepada syarikat pelancongan tempatan dan luar negara," katanya.

Hanafi berkata mengembangkan pelancongan budaya dapat menyediakan lebih banyak peluang pendapatan kepada penghibur tempatan yang memanfaatkan industri kreatif dan sektor pelancongan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan