BELANJAWAN 2025 > BERITA

MOSTI Lancar Pusat Kercerdasan Kuantum MIMOS Pertama Negara

26/02/2025 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Pusat Kecerdasan Kuantum Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) bakal menjadi platform kerjasama utama yang menghubungkan dasar dengan strategi bagi memacu kemajuan teknologi yang mendalam.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan pusat itu juga akan berfungsi sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) termaju dalam teknologi berkaitan kuantum seterusnya memacu penyelidikan serta inovasi berimpak tinggi.

MOSTI berkata pusat yang pertama seumpamanya di Malaysia itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat dan membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran khusus yang diperlukan untuk cemerlang dalam era kuantum.

“Dengan memupuk kepakaran tempatan dan menarik kerjasama global, Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS akan menjadi pemangkin bagi meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kuantum antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Pusat berkenaan dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang sempena MIMOS Quantum Day 2025 bertemakan ‘Membentuk Masa Depan dengan Kecerdasan Kuantum’, semalam.

Menurut kenyataan itu, pembukaan pusat tersebut sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (DSTIN) MOSTI 2021-2030 selain melengkapkan usaha Malaysia untuk lebih ke hadapan dalam teknologi tinggi seperti teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, MIMOS turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan SDT Inc. dari Korea untuk menubuhkan Lembah Kuantum Malaysia, iaitu hab inovasi yang dinamik.

MOSTI memaklumkan hab tersebut akan berfungsi sebagai ekosistem yang berkembang pesat, dengan syarikat antarabangsa, syarikat pemula dan pelabur boleh menubuhkan serta mengembangkan inisiatif Rantaian Bekalan Kuantum mereka.

“Hab ini akan disediakan dengan infrastruktur bertaraf dunia, memupuk kerjasama rentas sempadan, dan menarik pelaburan luar bernilai tinggi bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi kuantum Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, program MIMOS Quantum Day 2025 berperanan sebagai platform penting dalam perkongsian ilmu dan kerjasama industri dengan penglibatan lebih 200 peserta termasuk penyelidik, usahawan, dan pembuat dasar berbincang mengenai penemuan terkini, aplikasi serta cabaran dalam pengkomputeran, komunikasi dan keselamatan kuantum.

Acara utama merangkumi perbincangan panel mengenai status penyelidikan kuantum dan potensinya terhadap industri di Malaysia, pembentangan mengenai kemajuan teknologi berkenaan di Korea serta usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan bengkel interaktif bagi meneroka aplikasi pengkomputeran kuantum.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan