KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao berkata beliau tidak berdepan kesukaran dalam persediaannya di All England di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac ini, walaupun tidak menyertai sebarang kejohanan pemanas badan.
Jun Hao berkata keputusan tidak terlibat dengan pertandingan sebelum All England yang akan disertainya buat kali pertama itu, telah dibincangkan bersama jurulatihnya Kenneth Jonassen dan kedua-dua pihak bersetuju dengan perancangan tersebut.
“Ini atas apa yang kami rancangkan bersama, iaitu tidak mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan sebelum penampilan sulung di All England.
“Mungkin ini strategi dan teknik digunakan jurulatih,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.
Jun Hao merupakan satu-satunya pemain ABM tidak bertanding di Masters Orleans minggu ini, sebagai sebahagian daripada persediaan mereka ke All England.
Sementara itu, ditanya mengenai persedian bagi menghadapi kejohanan berprestij itu, pemain nombor 26 dunia itu berkata semuanya berjalan lancar mengikut perancangan jurulatih.
Beliau berkata Jonassen banyak membantu, terutamanya dalam gaya permainan, yang kini lebih pelbagai berbanding sebelumnya.
“Semuanya (persediaan menjelang All England) berjalan dengan baik buat masa ini. Kami bekerjasama dan lebih banyak mengadakan sesi latihan bersama.
“Untuk saya, beliau (Jonassen) tidak mengubah corak permainan saya, tetapi memberi lebih banyak pilihan tentang kaedah bermain, yang kini lebih bervariasi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial