BELANJAWAN 2025 > BERITA

BAM Enggan Terburu-buru Cari Penggantian Jeffer - Kenneth

04/03/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu terburu-buru mencari pengganti jurulatih perseorangan wanita Jeffer Rosobin, yang meninggalkan badan induk itu Jumaat lepas.

Ketua jurulatih perseorangan negara Kenneth Jonassen berkata walaupun pengganti Jeffer perlu dicari, beliau akan memastikan proses itu berjalan mengikut perancangan dan tidak menjejaskan bahagian perseorangan wanita.

“Apabila kehilangan rakan sekerja, kami akan melihat persiapan dan bagaimana kami mahu mencari calon tepat, sesuai dengan perkara yang kami perlukan pada masa hadapan.

“Kami tidak akan terburu-buru melakukan sesuatu kerana apabila satu pintu ditutup, satu lagi terbuka. Ia memberi peluang kepada kita untuk melihat bagaimana kita mahu melakukannya,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lepas, BAM mengesahkan Jeffer membuat keputusan sukar untuk melepaskan jawatannya kerana komitmen keluarga di Jakarta, Indonesia.

Sementara itu, Jonassen berkata beliau akan melibatkan pemain perseorangan wanita untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai siapa yang patut menjadi jurulatih seterusnya pada masa hadapan.

“Saya ingin mendengar apa yang mereka mahu katakan dalam beberapa sesi akan datang.

“Jika kita mahu menjadikan mereka pemain berkelas dunia, kita memerlukan ramai pemain wanita yang kuat dan berdikari, berani menyuarakan pendapat mereka,” katanya.

Jonassen juga berkata Misbun Ramdan Misbun akan mengendalikan sesi untuk bahagian perseorangan wanita buat masa ini sehingga dia kembali dari kejohanan jelajah Eropah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan