BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ahli Parlimen Sifatkan RUU Perkhidmatan Parlimen Tepat Pada Masanya, Cadang Rundingan Semula

04/03/2025 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025, dilihat sebagai satu usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen lebih bebas dan berdaya saing.

Sebanyak 18 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang yang terlibat dalam sesi perbahasan bagi bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini, rata-ratanya menyifatkan usaha kerajaan MADANI itu tepat pada masanya, namun berpendapat terdapat perkara lain yang masih boleh ditambah baik.

Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berkata pindaan RUU berkenaan tepat pada masanya untuk memperkasakan institusi tertinggi negara dan mengembalikan kuasa Parlimen, agar ia menguruskan pentabirannya sendiri seiring negara-negara maju seperti Kanada dan India.

Beliau berkata lebih 30 tahun perancangan Parlimen menjadi terhad dan memerlukan kelulusan daripada pihak eksekutif dari segi kewangan dan pentabiran.

“Pindaan ini satu langkah pertama, ke arah menjadikan Parlimen Malaysia berdaya saing dan bukan sekadar badan yang tunduk kepada badan eksekutif... pada hari ini, kita bakal mengubah demokrasi dan autonomi bagi institusi keramat kita ini,” katanya ketika membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata RUU yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan itu, bukan sekadar melibatkan satu pindaan kecil tetapi juga usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang benar-benar bebas, berwibawa dan berdaya saing.

Beliau berkata perkara itu merupakan reformasi yang dinantikan selama lebih tiga dekad dan merupakan satu langkah berani oleh Kerajaan MADANI, yang akan menentukan hala tuju institusi demokrasi negara bagi generasi kini dan akan datang.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (GRS-Beluran) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang mengambil kira pendapat pembangkang untuk dua wakil daripada blok itu dimasukkan ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi menambah baik keanggotaannya.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh perbincangan bagi RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, dengan menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang diwujudkan kelak benar-benar berfungsi dalam penambahbaikan Parlimen dan anggota pentadbiran.

“Kita nak PSA yang berfungsi, yang boleh menambah baik pentadbiran Parlimen jika diasingkan kuasa, kita tak nak lihat PSA yang diasingkan daripada eksekutif tapi PSA ada konflik kepartian,” katanya.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata antara aspek yang paling kritikal dalam pindaan RUU itu adalah peruntukan belanjawan untuk Parlimen, bagi memastikan Parlimen memiliki autoriti yang lebih kukuh.

“Apabila Parlimen diangkat kedudukannya ke tahap yang sepatutnya, ia juga tanda bahawa suara rakyat yang diwakili oleh wakil rakyat didengari dan diberikan hak yang lebih. Saya berharap supaya reformasi institusi atau Parlimen kita disusuli dengan pebagai pindaan lain selepas ini.

“Ini adalah langkah pertama ke arah hala tuju landasan yang betul dan perlu disokong untuk membolehkan langkah-langkah seterusnya disusun, diatur, supaya akhirnya proses demokrasi kita ini benar-benar membawa makna,” katanya.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula mencadangkan supaya RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dirundingkan semula dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebagai Ahli Parlimen, kami pasti akan menyokong akta untuk memperbaiki Parlimen. Tetapi, biarlah ia dilaksanakan dengan cara yang betul, sempurna dan komprehensif,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan