BELANJAWAN 2025 > BERITA

Empat RUU Berkaitan Kecekapan Perkhidmatan, Kerajaan Tempatan Dibentang Di Dewan Rakyat

04/03/2025 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Empat rang undang-undang (RUU) berkaitan kecekapan perkhidmatan kerajaan dan kerajaan tempatan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU tersebut ialah RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 dan RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkan RUU ltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 berkata bacaan kali kedua bagi RUU itu akan dibuat dalam persidangan kali ini.

RUU ltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan dengan menangani birokrasi, mengurangkan beban kawal selia serta memperkenalkan sistem penarafan prestasi perkhidmatan kerajaan. 

Pindaan itu antara lain mencadangkan penyampaian perkhidmatan kerajaan hendaklah berdasarkan prinsip iltizam yang menekankan kecekapan, tanggungjawab tadbir urus, reformasi struktur, dan keberkesanan kawal selia.

Dalam mengurangkan beban kawal selia, pindaan itu mencadangkan keperluan entiti kerajaan menyemak dan mengurangkan sekurang-kurangnya 25 peratus beban kawal selia setiap tiga tahun, selain Ketua Setiausaha Negara bertanggungjawab membangunkan kaedah penarafan untuk menilai kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.  

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membentangkan tiga lagi RUU berkaitan kerajaan tempatan, dengan bacaan kali kedua bagi ketiga-tiga RUU berkenaan dijadualkan dalam Mesyuarat Kedua tahun ini.

RUU Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 bertujuan untuk meminda Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, manakala RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 pula akan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976.

RUU Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 pula bagi meminda Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi meningkatkan penguatkuasaan dan memastikan keseragaman undang-undang kerajaan tempatan berkaitan jalan, parit dan bangunan. 

Antara cadangan pindaan adalah peningkatan penalti daripada RM500 kepada RM2,000 dan RM1,000 kepada RM3,000 bagi kesalahan tertentu di bawah akta itu kelak. 

RUU itu juga bertujuan memasukkan subseksyen baharu 47 (1B) untuk membolehkan mahkamah mengenakan perintah khidmat masyarakat hingga 12 jam dalam tempoh maksimum enam bulan sebagai hukuman tambahan kepada denda yang dikenakan. 

Pindaan itu bertujuan untuk menanamkan tanggungjawab sivik yang lebih mendalam, menggalakkan kesedaran awam dan memupuk budaya menjaga kebersihan yang menyumbang kepada Malaysia lebih bersih dan lestari, demikian menurut buku RUU berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan