BELANJAWAN 2025 > BERITA

Video Persenda Upacara Agama: MHS Berterima Kasih Kepada Fahmi

04/03/2025 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Malaysia Hindu Sangam (MHS) berterima kasih kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil atas tindakan pantas beliau mengarahkan siasatan terperinci terhadap perbuatan petugas stesen radio milik Astro, yang dilihat mempersendakan upacara keagamaan dan memuat naik video itu di platform media sosial pagi tadi. 

Menerusi kenyataan hari ini, MHS juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat, selain berharap stesen radio berkenaan bertindak dengan bertanggungjawab dan membetulkan perkara itu secepat mungkin. 

Persatuan itu juga amat mengecam video terbabit dan menyifatkan perbuatan mengejek mana-mana amalan agama sesuatu yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang agama dan budaya seperti di Malaysia.

"Kesucian ekspresi agama mesti dihormati semua dan tiada komuniti perlu menanggung perbuatan tidak sensitif secara terang-terangan seperti ini. Walaupun petugas terlibat daripada stesen itu telah meminta maaf, kami menggesa stesen radio berkenaan untuk mengambil tindakan tegas kerana mereka telah menunjukkan contoh yang salah. 

"Pihak bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang untuk mengelakkan kejadian mempersendakan agama pada masa depan. MHS menekankan kepentingan perpaduan negara dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira agama," menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, Fahmi menerusi kenyataan hari ini mengarahkan MCMC menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu, termasuk memanggil pihak Astro dan pengurusan stesen radio itu ke ibu pejabat MCMC untuk memberi penjelasan penuh bagi memastikan tindakan boleh diambil berdasarkan peraturan serta undang-undang sedia ada.

Hari ini, tular di media sosial tindakan penyampai radio di sebuah stesen milik Astro dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain.

Tiga penyampai radio itu kemudian tampil membuat permohonan maaf berhubung tingkah laku mereka yang disifatkan menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

Sementara itu, tiga penyampai radio terbabit direhatkan daripada ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara menunggu siasatan dalaman syarikat terhadap kejadian itu.

Astro Audio dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius perkara terbabit dan melahirkan kekesalan atas insiden rakaman video melibatkan penyampai Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin di platform media sosial ERA.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan