BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pavilion Malaysia MWC 2025 Di Barcelona Papar Pencapaian Digital Negara

04/03/2025 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol, yang mengetengahkan pelbagai pencapaian teknologi Malaysia, dibuka secara rasmi pada hari ini.

Menerusi kenyataannya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata Pavilion Malaysia dalam acara yang berlangsung pada 3-6 Mac, 2025, turut memaparkan pencapaian dan peranan negara ini dalam memacu kemajuan menerusi pelaksanaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kerjasama di rantau ASEAN.

“Pavilion Malaysia yang menghimpunkan Kementerian Komunikasi, MCMC, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan penggiat industri termasuk Digital Nasional Bhd, CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd, YTL Corporation Bhd, Edotco Group Sdn Bhd dan MEASAT Global Bhd, juga menjadi paparan komitmen Malaysia bagi memacu transformasi digital serta memupuk kerjasama antarabangsa,” kata MCMC.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang menyempurnakan majlis perasmian itu berkata Malaysia komited bagi membangunkan satu ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia serta rakan negara serantaunya.

“Pavilion Malaysia di MWC 2025 ini jelas menjadi bukti kemajuan serta visi kita untuk merealisasikan masa depan dengan kesalinghubungan, inovatif dan mampan,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata dengan berkongsi pencapaian di MWC 2025, Malaysia turut membuktikan kedudukannya bukan setakat seiring kemajuan global tetapi turut menyumbang aspek inovasi berharga yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat.

Dalam pada itu, MCMC berkata tumpuan utama dalam pavilion itu adalah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang mengatasi jangkaan dengan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada lebih 9.03 juta premis, sekali gus melepasi sasaran asal sebanyak sembilan juta menjelang 2025.

“Satu lagi ciri utama ialah usaha rintis rangkaian teras berbilang pengendali 6 Hala (MOCN), inisiatif pertama seumpamanya di ASEAN yang meningkatkan kesalinghubungan menerusi perkongsian infrastruktur dalam kalangan pengendali rangkaian mudah alih,” kata MCMC.

Pavilion Malaysia turut menampilkan MCMC Nexus, alat analisis canggih bagi meningkatkan prestasi rangkaian dan perancangan bandar serta pelbagai penyelesaian digital digunakan dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, pembuatan dan bandar raya pintar.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan