BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Rampas Lebih 4 Tan Narkotik, Hampir 10,000 Suspek Ditahan

05/03/2025 11:18 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Mac (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia merampas 4.171 tan narkotik bernilai kira-kira 2.72 trilion rupiah (sekitar US$166 juta) dalam operasi besar-besaran di seluruh negara dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Operasi yang diketuai Agensi Siasatan Jenayah, yang dijalankan dari Januari hingga 27 Feb, menyaksikan penahanan 9,586 suspek serta pembongkaran hampir 6,900 kes berkaitan dadah.

Ketua agensi itu, Pesuruhjaya Jeneral Wahyu Widada, berkata dadah yang dirampas, termasuk 1.28 tan methamphetamine, 346,959 pil ekstasi, 493 kilogram ganja, 3.4 kilogram kokain, 1.6 tan tembakau sintetik, dan lebih dua juta pil haram lain, yang berpotensi menjejaskan lebih 11 juta orang.

"Memerangi narkotik mestilah menyeluruh, menyasarkan kedua-dua aspek penawaran dan permintaan. Kami komited untuk memerangi dadah tanpa kompromi," katanya pada sidang media dalam talian.

Polis turut membongkar beberapa rangkaian pengedaran antarabangsa, termasuk yang dikaitkan dengan Freddy Pratama, antara raja dadah paling dikehendaki di Asia Tenggara.

Empat warga asing ditahan dalam kes berkenaan, dengan pihak berkuasa merampas 35 kilogram methamphetamine dan lebih 1,000 pil ekstasi.

Wahyu berkata sindiket pengedaran dadah menggunakan pelbagai kaedah penyeludupan, termasuk laluan darat dari Sumatera ke Jawa, penghantaran maritim dari kawasan Segi Tiga Emas dan Bulan Sabit Emas, serta perkhidmatan kurier rasmi.

Sesetengah sindiket turut mengendalikan makmal dadah secara rahsia di kediaman mewah berpengawal ketat.

“Kami melihat teknik penyeludupan yang semakin canggih, termasuk penggunaan penghantaran kargo dan laluan maritim,” katanya, sambil menambah bahawa mereka turut merampas aset berkaitan pengubahan wang haram hasil dadah bernilai 853 juta rupiah (kira-kira US$52,000).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan