BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nyahjenayah Dadah Manfaatkan Penagih, Pengguna Wanita - Pakar

07/03/2025 12:30 PM
From: Nina Muslim

Suatu petang pada Ogos 2024, pintu bilik tidur Alice (bukan nama sebenar) diketuk, dan apabila dibuka, di depannya berdiri seorang lelaki dan wanita yang memintanya mengikut mereka ke sebuah tempat - yang pasti bukan tempat indah - hampir 300 kilometer jauhnya.  

Matanya yang merah tersorok di sebalik sepasang kaca mata hitam, sementara telinga pula bertutup dengan fon kepala. Alice pada mulanya cuba untuk tidak mengendahkan kedua-dua orang yang tidak dikenalinya itu. 

Namun mereka bertegas, menyatakan mereka datang atas permintaan kedua ibu bapanya.  Ibu dan ayahnya yang bimbang dengan tindakannya menggunakan ekstasi dikenali sebagai X, untuk menangani stres, dan syabu bagi membolehkannya berjaga, bertindak menghubungi badan bukan kerajaan (NGO) Komited Malaysia untuk membantunya. 

Alice enggan. Namun selepas dipujuk berkali-kali, dia mengalah. 

Kini, dia berada di Casa Femina, pusat rehabilitasi dan juga rumah perlindungan untuk wanita yang dikendalikan oleh Komited Malaysia, di Kuantan, Pahang.  Bekas peguam bela jenayah berusia 39 tahun itu mengaku yang dia ada masalah penggunaan dadah. Dia tidak ketagih tetapi bergantung pada dadah dari segi mental, iaitu menggunakan bahan terlarang itu apabila berdepan tekanan kerja.

“Silap saya ialah (gunakan dadah) untuk legakan tekanan, tetapi pada akhirnya satu apa pun tidak selesai,” katanya kepada Bernama.   

Katanya, sebagai seorang daripada segelintir kecil wanita pengamal undang-undang jenayah, dia berasakan tidak ada tempat untuknya mengadu berhubung beban kerja serta diskriminasi gender yang dihadapinya.  

pic-2

Malangnya, isu diskriminasi gender ini berlaku di mana-mana, termasuk ketika dia dan wanita lain menjalani rawatan, malahan selepas itu. 

Walaupun Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 pada 18 Julai 2024 bagi menyahjenayah penggunaan dadah dan menganggap ketagihan sebagai isu kesihatan, peruntukan dalam pindaan itu menuntut komitmen tanpa kerelaan pengguna dadah, termasuk pengguna secara rekreasi dan bukan penagih, serta mandatori bagi doktor melaporkan mana-mana pengguna dadah. Peruntukan ini tidak dipersetujui oleh pakar.

 

ALASAN

Menurut pakar, dasar semasa yang bersifat punitif, gagal mencapai matlamat menurunkan jumlah pengguna dadah di negara ini. Langkah-langkah seperti komitmen tanpa rela ke pusat pemulihan hingga dua tahun untuk pengguna dadah dan pemenjaraan jika mereka diuji positif dalam tempoh setahun selepas dibebaskan, tidak membantu pengguna dan penagih berhenti menggunakan dadah.

Sekalipun angka pengguna dadah pada 2024 hanya setakat akhir September, jumlah yang tertera menunjukkan peningkatan besar dalam tempoh itu berbanding keseluruhan 2023. Setakat September 2024, terdapat 169,691 pengguna dadah termasuk 7,331 wanita yang dikenal pasti oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis dan Kementerian Kesihatan bagi tahun itu. Pada 2023, terdapat 145,526 pengguna dadah termasuk 6,318 wanita. Perangsang seakan amfetamina seperti X dan syabu dilaporkan dadah sintetik paling popular dalam kalangan pengguna.

Menurut Dr Nur Afiqah Mohd Salleh, penasihat program Dasar Dadah Negara (DDN), masalah dalam dasar dadah negara ini yang dikatakan ketinggalan zaman dan sisa-sisa penjajahan British, ialah jarang mengambil kira alasan seseorang itu mengambil dadah.

Beliau berkata faktor wanita mengambil dadah tidak semestinya sama dengan lelaki. 

pic-3

Keganasan berasaskan jantina boleh mendorong wanita mengambil dadah sebagai cara “membebaskan” diri.

Bersetuju dengan pandangan itu, seorang lagi penasihat DDN dan bekas pegawai kepada menteri undang-undang Samantha Chong berkata beliau selalu berkongsi dengan peserta bengkel nyahjenayah dadah dan juga acara lain, tentang satu kes yang meninggalkan kesan padanya.  

“Ketika itu saya membela seorang wanita yang mengambil dadah. Dia dirogol oleh ayah dan saudara lelaki kandungnya sendiri. Dia beritahu saya jika dia tidak dapat ambil dadah, dia akan bunuh diri,” kongsinya. 

Yasmin Khan, 26, pengasas Sage Centre – sebuah pusat rehabilitasi dan kaunseling swasta-  memahami perasaan terdesak itu kerana beliau juga mengalami perasaan sama semasa bergelar pelajar yang berusia 20 tahun di United Kingdom (UK).

Teman lelaki pertamanya mula mendera beliau ketika usia perhubungan mereka mencecah setahun. Lelaki itu akan merayu dan meminta maaf serta mencurahkan sepenuh kasih sayang selain berjanji akan berubah, dan beliau pun memaafkan. Hubungan mereka baik sekejap, namun tidak lama kemudian teman lelakinya kembali memukul beliau atas pelbagai alasan. Beliau terperangkap dalam kitaran kejam cinta yang mendalam, kemaafan dan keganasan.

Berseorangan di negara asing tanpa sistem sokongan selain daripada kawan-kawan yang termasuk juga teman lelakinya, pada suatu hari beliau mencuba dadah dengan rakan-rakannya itu. Pengalaman tersebut membuka matanya, kata Yasmin kepada Bernama.

“Saya dapat rasakan yang saya bukan diri saya lagi (ketika mengambil dadah), kerana saya cuma tidak mahu berfikir, saya hendak lupakan perkara yang menakutkan saya. Berada dalam keadaan keseorangan itu menakutkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Sekalipun wanita lazim mengambil dadah atas sebab-sebab berasaskan jantina, kini semakin ramai daripada kaum Hawa menggunakan dadah kerana faktor-faktor umum yang kerap dinyatakan oleh kaum lelaki seperti isu keluarga dan tekanan kerja.

pic-4

Alice mengambil X dan syabu untuk menangani stres akibat kerja dan tekanan bekerja dalam bidang didominasi oleh lelaki. Dia relaps beberapa kali termasuk selepas menjalani pemulihan di pusat rehabilitasi dan juga penjara. 

Bagi Rosnani Awang, 51, dia mengambil dadah atas faktor biasa, iaitu rasa bosan selaku remaja berusia 19 tahun di Terengganu. Dadah pilihannya ialah heroin yang seterusnya menjadikan dia penagih. Dia juga pernah mengguna dan mengedar syabu. Malah katanya, dia pernah tersenarai sebagai orang dikehendaki oleh polis di beberapa buah negeri. 

 

DIBAYANGI DOSA SILAM

Dosa silam selaku penagih atau pengguna dadah membayangi kehidupan seseorang itu dalam banyak perkara. Di Malaysia, sejarah penggunaan dadah akan menyukarkan seseorang, lelaki atau wanita, untuk mendapat pekerjaan.

Namun, ada kesan lain yang hanya dilalui oleh wanita. Stigma yang dihadapi mereka juga lebih teruk. Dalam kes Rosnani, dia berdepan cabaran yang tidak putus-putus.

Dia kehilangan hak penjagaan dua anak perempuannya pada 2011, yang turut mendorongnya meninggalkan najis dadah buat selama-lamanya. Dia, secara sukarela, mendaftar diri di Komited Malaysia.

Dugaan yang dihadapinya belum berakhir. Sekalipun dia tidak lagi menyentuh dadah sejak 2014, masyarakat masih menghukumnya, bagaikan dia masih lagi menagih. Buktinya, dia mengalami putus tunang sebanyak enam kali dengan satu daripadanya berlaku dua minggu sebelum majlis akad nikah, selepas keluarga tunangnya tahu tentang sejarah dia mengambil dadah.  Tunangnya yang pada peringkat awal cuba mempertahankan dia, akhirnya akur dengan desakan keluarga. 

“Saya hendakkan seseorang yang normal agar saya tidak teringin (untuk kembali menagih), tetapi keluarga mereka enggan terima saya,” katanya kepada Bernama. 

Katanya, dia dapati hal itu hanya berlaku dalam kalangan bekas penagih wanita.

pic-5

Bersetuju dengan pandangan itu, kaunselor di Komited Malaysia Sazura Sarif berkata wanita tidak boleh melakukan kesilapan. Beliau sendiri berkahwin dengan bekas penagih yang bekerja dalam program pengurangan kemudaratan.

“Orang akan pandang rendah kepada kamu buat selama-lamanya” jika bekas penagih itu adalah wanita, katanya. Akan tetapi, lelaki yang meninggalkan dadah disanjung kerana berubah atau bertaubat.

Yasmin yang bernasib baik kerana tidak perlu melalui sistem keadilan jenayah di Malaysia, tidak memikul banyak beban seperti wanita lain kerana beliau berhenti mengambil dadah ketika masih di UK. Bagaimanapun beliau memutuskan untuk memanfaatkan pengalamannya dengan menawarkan khidmat kaunseling pesakit luar dan pusat pemulihan.

“Saya mahu pastikan mereka tahu yang mereka tidak bersendirian, kerana saya pernah lalui pengalaman itu,  tidak tahu nak mengadu kepada siapa atau nak percaya pada siapa. Saya nak jadi tempat orang mengadu, jadi orang yang dipercayai oleh mereka,” katanya. 

 

KAEDAH

Di bawah undang-undang nyahjenayah dadah negara ini, penggunaan dadah masih diharamkan dan pengedar yang ditangkap bersama-sama sejumlah besar dadah masih berdepan hukuman berat. Bagaimanapun, mereka yang menggunakan dadah atau ditangkap dengan jumlah kecil, tidak lagi perlu melalui sistem keadilan jenayah.

Pakar berpendapat bahawa menghantar pesalah kali pertama atau pengguna kasual ke penjara hanya memburukkan keadaan kerana di situlah mereka “naik taraf” menjadi pengguna tegar.

pic-6

Alice yang pernah menjalani program pemulihan dadah yang ketat di bawah AADK serta hukuman penjara selama tiga bulan penjara, mengesahkan perkara itu. Dia tidak pernah berdepan kesukaran untuk mendapatkan dadah semasa menjadi peguam, dan bertambah mudah baginya memperoleh bahan itu selepas melalui sistem pemulihan.

“Banduan akan berkongsi nombor pembekal dadah mereka di luar sana,” katanya kepada Bernama. Menurutnya, sebaik sahaja keluar dari pusat pemulihan, dia terus menghubungi pembekal dadah terbabit. 

“Saya nak balas dendam sebab kena penjara, jadi sebaik keluar saya terus cari dadah,” katanya sambil mengerutkan wajah. Dia marah kerana dipenjarakan yang baginya tidak mengajar dia bagaimana hendak mendepani masalah dalam kehidupan tanpa menggunakan dadah. 

Dia lebih suka cara Komited Malaysia walaupun program mereka hanya berfokus pada penghindaran sepenuhnya. Satu daripada sebabnya adalah kerana terdapat lebih banyak sesi kaunseling peribadi daripada bekas penagih yang memahami perjalanan hidupnya. Selain itu, dia juga menikmati lebih banyak kebebasan – dia dibenarkan menggunakan telefon bimbit pada waktu pejabat dan membantu di pejabat NGO tersebut.

Pemulihan secara tidak rela adalah satu perkara yang harus ditolak di bawah pelan DDN. Selalunya pemulihan sebagai pesakit luar dan kaunseling adalah lebih baik.

Yasmin serta ketua pakar psikologi klinikal di Sage Centre Nabila Burhanuddin, 30, masing-masing berkata program pesakit luar akan membolehkan pengguna dadah “menguji” diri mereka dan belajar menangani situasi yang memicu mereka untuk kembali mengambil dadah dalam masa sebenar.

“Memang mudah untuk hilangkan ketagihan di pusat pemulihan secara paksa kerana tidak ada godaan. Sebaik sahaja keluar, mereka relaps,” kata Nabila.

pic-7

Program di Sage Centre memerlukan klien menghadiri sesi kaunseling setiap hari selama beberapa jam untuk tempoh tiga bulan, sebelum beransur-ansur berhenti. Walaupun mereka menjamin kerahsiaan, kos perkhidmatan mereka mungkin menjadi penghalang. 

Konsep pesakit luar ini adalah contoh perkhidmatan pemulihan nilai ambang rendah, namun Dr Nur Afiqah mahu nilai ambang untuk rawatan direndahkan lagi dengan akses kepada kaunseling dan rawatan dipermudahkan seluas mungkin.

DDN yang terletak di bawah Yayasan AIDS Malaysia, memperjuangkan penubuhan pusat sehenti untuk penagihan yang dikendalikan oleh pakar-pakar, dan berada di lapangan bukan di pusat penjagaan kesihatan. Unit mudah alih boleh melakukan pemantauan di tempat-tempat yang berlaku banyak penyalahgunaan dadah termasuk universiti, konsert dan kelab malam. 

“Di Kanada, mereka ada perkhidmatan nilai ambang rendah yang lebih mesra komuniti dan orang ramai mendapati cara itu lebih mudah bagi mereka untuk mendapatkan perkhidmatan berbanding mewajibkan mereka menjalani pendaftaran, penilaian awal dan saringan kriteria kelayakan,” kata Dr Nur Afiqah.

 

Artikel ini bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan