KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Pemain skuasy lelaki negara Sanjay Jeeva mencatatkan kemenangan terbesar dalam kariernya apabila mengejutkan pemain nombor 22 dunia, Abdulla Al-Tamimi dari Qatar untuk mara ke suku akhir Terbuka Skuasy New Zealand 2025 hari ini.
Pemain nombor 65 dunia, Sanjay, menunjukkan permainan terbaiknya untuk menewaskan pemain pilihan kelapan dari Qatar dengan keputusan 10-12, 11-9, 11-6, 5-11, 11-6 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung selama 54 minit di Isaac Theatre Royal, Christchurch.
Ganjarannya kerana mara ke suku akhir peringkat pertamanya dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) ialah berdepan dengan rakan senegara dan pilihan ketiga Ng Eain Yow, yang menewaskan pemain New Zealand Oliver Dunbar 11-4, 11-1, 11-3 dalam hanya 32 minit.
“Saya tidak banyak berpeluang beraksi menentang pemain dalam kelompok 50 terbaik dunia. Ini kali pertama saya bertemu dengan Abdulla dan dia adalah pemain dengan ranking tertinggi yang pernah saya tewaskan setakat ini.
“Seperti saya, dia juga gemar bermain di bahagian depan. Saya cuba untuk bermain dengan lebih asas, lebih lurus. Kadang-kadang, apabila saya rasa gugup, saya akan menyerang bahagian depan terlalu awal dan melakukan banyak kesilapan,” kata Sanjay kepada laman web PSA.
Sementara itu, dalam perlawanan pusingan kedua wanita sesama Malaysia, pemain nombor tujuh dunia, S. Sivasangari terpaksa berhempas pulas selama lima set sebelum menang 11-5, 8-11, 9-11, 11-8, 11-7 ke atas Aira Azman.
Menanti Sivasangari di suku akhir ialah pemain Mesir, Rowan Elaraby, yang menumbangkan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 11-6, 11-6, 11-8 pada pusingan kedua.
Rekod pertemuan mereka lebih memihak kepada pemain Mesir itu yang mendahului dengan 4-3.
Seorang lagi wakil wanita negara, Rachel Arnold, melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-4, 11-6, 9-11, 11-9 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.
Rachel yang menduduki ranking nombor 19 dunia, yang sedang berusaha untuk meraih gelaran PSA Silver kedua dalam musim 2024-25 selepas menjuarai Terbuka China pada Oktober lepas, akan menghadapi ujian getir pada suku akhir apabila bertemu pemain nombor lapan dunia dari Mesir, Amina Orfi, yang juga pilihan kedua.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial