BELANJAWAN 2025 > BERITA

MMU Tubuh Fakulti Kejuruteraan AI Pada Julai

06/03/2025 11:00 PM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) -- Universiti Multimedia (MMU) akan menubuhkan Fakulti Kejuruteraan Kecerdasan Buatan (FAIE) pada pertengahan tahun ini, merombak Fakulti Kejuruteraan (FOE) sedia ada untuk memperkukuh pendidikan dan penyelidikan yang dipacu kecerdasan buatan (AI).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata usaha berkenaan adalah langkah strategik untuk menyelaraskan program universiti dengan kemajuan teknologi global dan keperluan industri.

“AI sedang mengubah setiap aspek kehidupan kita, dan kami (MMU) mahu pelajar kami menjadi sebahagian daripada transformasi ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa MMU Bersama Media di sini hari ini.

Mazliham berkata FAIE akan memperkenalkan program Sarjana Muda Sains (Kepujian) (AI Gunaan) iaitu kursus sepenuh masa selama tiga tahun yang akan bermula dengan pengambilan pada Julai 2025.

Program Sarjana Muda Kejuruteraan sedia ada juga, katanya akan diperkukuh dengan elemen AI untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi terkini.

AI Gunaan menggunakan teknologi seperti pembelajaran mesin dan automasi untuk menyelesaikan cabaran dunia nyata termasuk penjagaan kesihatan pintar, kenderaan autonomi, pertanian pintar, dan pembantu digital yang disesuaikan.

FAIE akan dilengkapi dengan kemudahan makmal canggih yang direka untuk memupuk kreativiti dan kerjasama antara pelajar, penyelidik, dan rakan industri bagi memastikan siswazah MMU kekal berdaya saing dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan