BELANJAWAN 2025 > BERITA

KDN Kenal Pasti Calon Ketua Pengarah AKPS - Saifuddin Nasution

08/03/2025 09:06 AM

SEPANG, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengenal pasti calon terbaik untuk mengisi jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), yang kini kosong susulan persaraan Datuk Seri Hazani Ghazali pada 9 Feb lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pemilihan calon terbaik untuk mengemudi AKPS telah dibincangkan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

"Dalam tempoh yang munasabah, pengumuman mengenai pelantikan akan dibuat," katanya kepada media selepas menghadiri Program Nilai-Nilai Murni Ihya' Ramadan AKPS 2025 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban, dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS Datuk Sazali Mohamad.

Beliau berkata proses pemilihan sedang dijalankan dengan teliti, dan beberapa kriteria telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, untuk pertimbangan.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas KDN, di bawahnya terletak AKPS, saya terlibat secara langsung dalam penubuhan agensi ini. Oleh itu, saya turut menyampaikan pandangan dari perspektif KDN," katanya.

Beliau menambah bahawa perbincangan dengan KSN dan pasukan berkaitan mendapati terdapat beberapa kriteria utama yang perlu diberi perhatian dalam pemilihan calon.

"Saya telah menyampaikan kepada Tan Sri KSN... ringkasnya, proses pemilihan masih di peringkat merisik, namun mungkin sudah ada calon yang dikenal pasti," katanya.

AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024, dengan Hazani sebagai Ketua Pengarah pertamanya.

Sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab di sempadan negara, AKPS menyatukan kepakaran dan sumber daripada pelbagai jabatan kerajaan bagi memastikan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara lebih berkesan.

Agensi ini kini dianggotai 6,000 pegawai dan anggota, termasuk 1,090 pegawai yang diserap daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Selain JKDM, pegawai serta anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) turut diserap ke dalam AKPS.

-- BERNAMA=


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan