BELANJAWAN 2025 > BERITA

UiTM Tempatkan Mahasiswa Terjejas Tanah Runtuh Di Kolej Kediaman

09/03/2025 11:32 PM

KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) -- Lebih 50 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terjejas akibat tanah runtuh di kawasan kediaman mereka di Taman Desa Mas, November lepas, akan ditempatkan di kolej kediaman kampus semester depan.

Rektor UiTM Cawangan Kelantan Profesor Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata langkah itu bagi memastikan keselamatan pelajar terlibat kerana kawasan tersebut masih berbahaya dan pihaknya sedang menunggu tindakan kerajaan negeri.

"Kawasan berkenaan belum dibersihkan sepenuhnya, jadi kita tidak galakkan pelajar menyewa di lokasi itu malah semua penuntut terbabit akan ditempatkan di kolej kediaman memandangkan pada semester depan, hanya 500 pelajar bagi pengambilan baharu selain kita mempunyai kapasiti mencukupi bagi tujuan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Mahabbah Kasih Ramadan UiTM Cawangan Kelantan bersama Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) dan Rumah Kelantan Tiang 12 di sini, hari ini. 

Terdahulu, Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan menyempurnakan majlis.

Mohd Afandi berkata isu berkenaan juga akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan dalam satu pertemuan minggu hadapan khususnya berhubung kerja-kerja penyelengaraan sisa tanah.

Dalam pada itu, beliau berkata program hari ini bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan wang dan barangan keperluan asas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan