BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tangguh Cadangan Kenaikan Tarif Pelabuhan 30 Peratus - FMM

08/03/2025 03:12 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus khususnya untuk pengendalian dan penyimpanan kontena.

Ini kerana kenaikan itu akan memberi implikasi besar terhadap kos menjalankan perniagaan untuk pihak pengilang dan syarikat pengangkutan.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor (JPA) sedang dalam proses memuktamadkan kenaikan tarif bagi Westports, Northport dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi tujuan pewartaan.

"Dengan Pelabuhan Klang mengendalikan 14 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun, pada tarif pengendalian kontena semasa sebanyak RM300 bagi setiap kontena 20 kaki, cadangan kenaikan 30 peratus akan meningkatkan kos sebanyak RM90 bagi setiap kontena.

"Kenaikan ini akan menyebabkan tambahan kepada kos tahunan sebanyak RM1.26 bilion, yang secara langsung memberi kesan ke atas syarikat pengangkutan dan pengilang yang bergantung kepada pelabuhan untuk import dan eksport," katanya kepada Bernama apabila dihubungi hari ini.

FMM merupakan pengerusi tetap dan sekretariat Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) sejak 2015.

Soh berkata tarif yang lebih tinggi akan mengurangkan daya saing Malaysia, mengalihkan trafik pengangkutan ke negara jiran yang mengenakan tarif lebih rendah, dan akhirnya menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.

Kenaikan tarif yang dicadangkan itu juga akan meningkatkan yuran pengendalian kontena di Pelabuhan Klang kepada US$130 setiap TEU daripada US$120 (US$1 = RM4.4185), yang sama atau melebihi tarif pesaing utama seperti Singapura dan Hong Kong.

"Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia telah lama diiktiraf sebagai pilihan yang kos efektif bagi pengangkutan barangan, menawarkan tarif yang kompetitif berbanding pemain serantau seperti Singapura, Hong Kong, dan India.

"Bagaimanapun, cadangan kenaikan tarif sebanyak 30 peratus akan mengancam kelebihan itu, mewujudkan jurang yang lebih luas dengan negara-negara jiran ASEAN seperti Thailand, Vietnam, dan Indonesia, yang mana yuran pengendalian kontena mereka jauh lebih berpatutan," katanya.

Menurut Soh, caj penyimpanan yang melebihi tempoh percuma akan meningkat daripada RM15 sehari kepada antara RM51.75 (+245 peratus) dan RM95.40 (+536 peratus) bagi kontena import 20 kaki, berikutan pelarasan tarif berkenaan.

Begitu juga dengan kontena eksport 20 kaki, kadarnya akan meningkat daripada RM4 sehari kepada antara RM13.80 (+245 peratus) dan RM25.44 (+536 peratus).

"Kenaikan kos yang besar ini akan membebankan lagi industri, memburukkan daya saing Malaysia yang semakin merosot, dan menghalang usaha untuk menyelaraskan operasi perdagangan dan logistik," katanya.

Soh juga menggesa agar kajian semula yang telus dilakukan terhadap cadangan pelarasan tarif itu, memandangkan kenaikan 30 peratus boleh menyebabkan pengenaan caj berganda ke atas pengangkutan untuk kos yang sepatutnya ditanggung oleh pengendali pelabuhan.

Menurut beliau, pengendali pelabuhan bertanggungjawab secara kontrak untuk membiayai semua kos pembangunan dan infrastruktur menggunakan hasil daripada operasi mereka di bawah perjanjian konsesi sedia ada.

Pelabuhan utama Persekutuan sebenarnya telah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh, secara kolektif menjana hasil sebanyak RM32.46 bilion antara 2019 dan 2023.

"Semakan yang telus terhadap cadangan pelarasan tarif adalah penting untuk mengelakkan syarikat pengangkutan pelabuhan menanggung beban kewangan yang tidak wajar bagi perbelanjaan pembangunan dan infrastruktur," katanya.

Soh berkata walaupun FMM menyokong pembangunan mampan dan saksama untuk pelabuhan-pelabuhan Malaysia, semakan tarif yang perlu dilakukan mestilah telus, wajar, dan selaras dengan objektif ekonomi Malaysia.

“Kami menggesa MOT untuk menangguhkan cadangan kenaikan tarif sehingga semakan menyeluruh selesai dilaksanakan, bagi memastikan pelabuhan di Malaysia kekal berdaya saing dan menjimatkan kos,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan