BELANJAWAN 2025 > BERITA

Laman Sendiri Beri Kelebihan JDT Pamer 'belang' Sebenar Hadapi Buriram

08/03/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Juara Liga Super musim ini Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka mampu menyingkirkan wakil Thailand Buriram United sekali gus mencipta sejarah layak ke peringkat suku akhir saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) 2024/25.

Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Rizar Mohd Noor percaya skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan tersendiri untuk menundukkan Buriram dalam aksi penentuan perlawanan kedua pusingan 16 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa depan.

Beliau berkata beraksi di laman sendiri memberi ruang kepada JDT untuk mempamerkan ‘belang’ sebenar seperti ditunjukkan anak buah Hector Bidoglio itu dalam saingan peringkat kumpulan.

“Kalau aksi pertama Hector (Bidgolio) bermain secara bertahan kerana faktor keadaan padang, untuk aksi kedua taktikal akan berbeza, lebih banyak menyerang kerana ini peluang terakhir. Saya tahu Hector tak gemar bermain masa tambahan, beliau nak habiskan permainan dalam tempoh 90 minit.

“Kita jangka JDT akan beri segalanya untuk menang, kemungkinan Juan Muniz kembali beraksi dalam kesebelasan utama dan Samu Castillejo (juga) akan berada dalam kesebelasan utama,” katanya yang merupakan penulis sukan berpengalaman kepada Bernama hari ini.

Selasa lepas, JDT yang tampil dengan corak permainan bertahan berjaya mengekang kuasa Buriram di laman sendiri selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Buriram.

Menjelang pertembungan yang dianggap aksi penentuan gelaran raja Asia Tenggara itu, Mohd Rizar berkata JDT perlu berwaspada dengan Suphanat Mueanta, Martin Boakye dan Guilherme Bissoli yang membentuk trio serangan berbahaya skuad bimbingan Osmar Loss itu.

“Kena jaga pergerakan Suphanat. Kalau boleh kawal dia boleh kekang Buriram, Boakye dan Bissoli juga perlu dikekang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rizar berkata dengan kehadiran Castillejo yang merupakan bekas penyerang Valencia dan AC Milan, Bidoglio kini mempunyai lebih pilihan sekiranya memilih untuk merehatkan Arif Aiman Mohd Hanapi.

“Dalam aksi pertama saya lihat Arif Aiman sedikit keliru apabila Castillejo turut bermain di kawasan yang sama, Hector kena bijak jika nak gunakan kedua-dua pemain ini. Bagi saya untuk aksi kedua, lebih rela Arif Aiman di bangku simpanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui rekod cemerlang serta peranan penting Arif Aiman terutama dalam perlawanan getir selepas pemain kebangsaan itu membuktikan kehebatannya dengan menjaringkan lima gol dalam kejohanan berkenaan setakat ini.

Senarai penjaring terbanyak ketika ini menyaksikan pemain Yokohama F. Marinos Anderson Lopes, Jasir Fadil Asani (Gwangju FC) dan Salem Mohammed Shafi Al Dawsari (Al Hilal SFC) masing-masing berkongsi tujuh gol.

Pemain bintang Al Nassr Cristiano Ronaldo dan Riyad Karim Mahrez (AL Ahli Saudi FC) pula masing-masing mengumpul enam gol.

Sebagai rekod, aksi timbal balik Selasa depan akan menjadi pertemuan ketiga antara JDT dan Buriram dalam ACL Elite musim ini, selepas kedua-dua pasukan turut terikat tanpa jaringan dalam peringkat liga di Stadium Sultan Ibrahim, Disember lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan