KUALA KANGSAR, 8 Mac (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3,064,237.08 juta daripada empat syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Istana Iskandariah hari ini.
Sultan Nazrin turut berkenan menunaikan pembayaran zakat fitrah kepada Pengurus Besar Single Business Unit (SBU) Pungutan Zakat dan Wakaf MAIPk, Ahmad Nazim Md Tajuri pada majlis berkenaan.
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Penyerahan zakat berkenaan didahului syarikat BELATI yang diwakili pengarahnya Mohamad Akmal Datuk Johari dengan menyerahkan zakat berjumlah RM885,000.00.
Johawaki Plantation Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya Anizam Bakar menyerahkan zakat berjumlah RM290,000 manakala Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak diwakili Mohd Azhar Mohd Yusof yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif menyerahkan zakat berjumlah RM1,089,237.08.
Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan yang diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Zulkefli Abdullah menyerahkan zakat berjumlah RM800,000.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menyerahkan zakat itu kepada Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Baginda turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah bersama tetamu yang terdiri daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Orang Besar Perak, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Undangan Negeri dan ketua-ketua jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial